Tag Archive | tarbiyyah

BERUBAH MELALUI TARBIYYAH : Mengapa usrah ? (Bah. 1)

usrah

Aku mengenali usrah hanya setelah usiaku telah mencecah dekad ke-empat. Syukur Alhamdulillah, ALLAH telah memilihku dan memberikan ku peluang ini. Aku tidak menyesali berjumpa jalan ini di kelewatan usiaku setelah aku lalui jalan-jalan kesesatan sebelum ini. Sejarah silam yang penuh kesesatan itu pasti ALLAH takdirkan agar dapatlah aku menumbangkan kesesatan itu dengan pengetahuan yang ada padaku, insyaALLAH.

Di kala ini, izinkan aku bercerita tentang hebat dan istimewanya usrah, yang sangat penting dalam tarbiyyah.

Bukan tidak pernah aku hadiri majlis-majlis ilmu dan agama dalam hidupku selama ini. Kerap. Jiwaku yang mencintai ilmu tidak akan lepaskan peluang itu. Tapi kesannya ? Sangat minimal. Ya, aku akui adakalanya pengisian majlis-majlis ilmu itu membuatkan aku tersentak, merenung jauh dan menanam dalam-dalam azam. Apatah lagi bila timbul isu masyarakat Islam diganasi. Paling terkesan di hatiku ialah isu bosnia Herzegovina yang ku saksikan di universiti dahulu. Sungguh menyayatkan hatiku. Timbul keinsafan untuk berubah. Isu Palestin usah dikata, acap kali telah ku lihat. Tapi apa yang ku perbuat selain mengalir air mata kesedihan ? Cukupkah sekadar air mata sahaja ?

Dan adakah majlis-majlis ilmu yang telah aku hadiri selama ini telah dapat mengubah dan menambahkan amalku? Apakah bila aku melangkah keluar meninggalkan majlis ilmu itu, adakah itu langkah permulaan untuk aku melakukan perubahan atau segala ilmu itu hanya ditinggalkan di dewan-dewan dan bilik kuliah ?

Dan, andainya aku telah berazam untuk berubah, siapakah yang dapat membimbing diriku ? Dari manakah aku dapatkan sokongan moral untuk menghadapi segala susah payah, jerit payah untuk berubah ? Adakah para ilmuwan itu berada di sisiku saat itu semua ?

Maka ternyata majlis-majlis ilmu tidak bisa membuatkan aku berubah atau aku hanya menanam azam tanpa meletakkan usaha secara berterusan…..

Mengapa ini terjadi ?

Izinkan aku gunakan analogi kuliah vs tutorial..
Bagi mereka yang telah mengikuti pengajian di peringkat tinggi, pasti dapat merasai perbezaan antara kedua majlis ilmu ini. Di dewan kuliah, coraknya lebih berat kepada komunikasi sehala sahaja dimana objektif utama adalah untuk pensyarah menyampaikan ilmu. Interaksi dengan pelajar dengan pensyarah agak terbatas. Kerap kali, hanya pelajar yang pro-aktif berusaha mengambil inisiatif untuk bersemuka secara terus dengan pensyarah. Namun, bilangan pelajar yang ramai tidak memungkinkan semua pelajar dapat disantuni oleh pensyarah.
Dalam kelas tutorial, bilangan pelajar yang lebih sedikit memungkinkan interaksi secara terus dengan tutor. Tutor dapat memberikan lebih ruang kepada pelajar dan membina hubungan yang lebih terbuka dan rapat. Ini memungkinkan pelajar untuk bertanya dan tutor dapat menyantuni segala permasalahan pelajar. Namun, ini tidak bermakna kuliah itu tidak penting, ianya saling melengkapi.

Maka, begitulah jugalah usrah – ia seumpama kelas tutorial itu. Bilangan pelajar (mutarabbi) yang lebih sedikit memudahkan pendidik (murabbi) memberikan fokus kepada keperluan mereka. Dapat berbincang, meluahkan rasa dan berkongsi cerita. Hubungan boleh dibina dengan lebih baik dan dapat membentuk tautan hati. Hubungan ini boleh membina faham diantara murabbi dan mutarabbi. Ini akan dapat mendorong mutarabbi untuk melakukan perubahan dirinya mengikut bimbingan murabbi. Pemantauan juga dapat dilakukan secara berterusan dan tidak dilepaskan begitu sahaja…penjagaan secara individu yang berterusan begini, insyaALLAH akan dapat membantu perubahan itu lebih kekal berterusan..

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna usrahlah satu-satunya cara untuk membimbing manusia. Kuliah itu masih lagi perlu untuk melihat the ` big picuture’ , namun, kuliah tanpa kelas usrah itu pasti menyukarkan kerana tiada tempat untuk berkongsi ilmu dan cerita.

Berubah itu perlu, namun ianya bukan mudah. Manusia perlu dibimbing kerana kita tidak mungkin berubah sepantas kilat dengan sendirinya. Itu mustahil. Siapa yang boleh membimbing manusia selain daripada kalangan manusia itu sendiri ? Tapi manusia yang bagaimana ? Sudah tentulah kita perlu kembali kepada pencipta kita, ALLAH dan DIA telah hantarkan utusanNYA ke dunia.

Rasulullah telah pun menyampaikan risalahNYA. Dan adakah kewafatan Nabi menjadi alasan untuk kita tidak lagi mendapat bimbingan ? Bukankah Nabi telah menghasilkan manusia-manusia hebat yang menjadi pewaris Nabi ?

Suatu pencarian bermula…

Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam :
Barangsiapa yang Allah berkehendak padanya kebaikan, nescaya diberikan kepadanya kefahaman dalam agama.

bersambung..inshaALLAH

Advertisements

KEMBARA BERHIMPUN HATI

Himpunan Tarbawi Apr 2013

Dengan lafaz bismillah
Aku memulakan langkah
Ditemani sahabat dalam suatu kembara yang panjang..
Ketibaan di RA itu mengimbau kenangan silam
Dua tahun telah berlalu…

Saat aku mengenali siapa kita
Untuk apa dan kenapa kita disini
Penghuninya kini telah berbeza
Aku jadi rindu pada penghuninya yang lama..

Di sinilah kali pertama ku bertemu murabbiku di alam nyata..
Di sinilah kali pertama ku hadiri suatu perhimpunan
Menyatukan hatiku dengan mereka semua..

Sukar melelapkan mata kala malam tiba
Dinihari yang sunyi kami kembara
Menaiki keretapi dalam kedinginan
Mendirikan solat dalam keheningan
Rasa khusyuk dicengkam sunyinya suasana
Panorama indah terbentang di sisi
Menemani perjalanan yang panjang ini

Kembara rasa bertambah bahagia
Setelah semua tiba
Saat pipi kita berlaga
Ketawa riang setelah lama tidak berjumpa
Perhimpunan seperti ini amat ku damba

Bersembang berkongsi cerita
Hingga akhirnya tiba di destinasi kita
Hati penuh rasa berbunga
Melawani rasa letih kembara

Pengisian demi pengisian membasahkan jiwa
Apatah lagi didengari dari orang lama
Betapa hebatnya mereka tetap tsabat dijalanNYA
Sungguh aku mengagumi jiwa muda mereka
Sejarah perjuangan yang panjang
Sedari awal manusia diciptakan
Kini, di tangan kita untuk diteruskan
Bagaimana kalian boleh rasa kerdil dan lemah ?
Sedangkan kita diberi penghormatan sedemikian rupa
Mewarisi dan menyambung perjuangan ini insyaALLAH

Mereka yang terdahulu telah melalui getirnya
Demi masa depan kita semua
Maka, bersyukurlah dengan apa yang telah dibina
Dan teruskanlah membina
Mudah2an kita akan sampai ke puncak nyata
Mati syahid dijalanNYA….

Kembara kini teruskan
Perjalanan pulang memakan masa berjam-jam
Hingga rasa lesu menghambat badan
Namun, dengan api semangat yang mendalam
Walau lelah mengembara
Hatiku lebih menghargai
Makna sebuah perjuangan

Mudah-mudahan ALLAH izinkan
Kita tidak lelah berjuang
Sehinggalah tiba masa
Untuk kita kembali kepadaNYA…

Tiada ku sangka di benakku
Begini takdir ALLAH buatku
ALLAH memilihku kerana kasihNYA
Jua kalian semua
Penghormatan sebegini rupa
Tidak harus kita persia
Demi cinta ini, berjuanglah hingga mati