Tag Archive | hijrah

BERUBAH MELALUI TARBIYYAH : Mengapa usrah ? (Bah. 1)

usrah

Aku mengenali usrah hanya setelah usiaku telah mencecah dekad ke-empat. Syukur Alhamdulillah, ALLAH telah memilihku dan memberikan ku peluang ini. Aku tidak menyesali berjumpa jalan ini di kelewatan usiaku setelah aku lalui jalan-jalan kesesatan sebelum ini. Sejarah silam yang penuh kesesatan itu pasti ALLAH takdirkan agar dapatlah aku menumbangkan kesesatan itu dengan pengetahuan yang ada padaku, insyaALLAH.

Di kala ini, izinkan aku bercerita tentang hebat dan istimewanya usrah, yang sangat penting dalam tarbiyyah.

Bukan tidak pernah aku hadiri majlis-majlis ilmu dan agama dalam hidupku selama ini. Kerap. Jiwaku yang mencintai ilmu tidak akan lepaskan peluang itu. Tapi kesannya ? Sangat minimal. Ya, aku akui adakalanya pengisian majlis-majlis ilmu itu membuatkan aku tersentak, merenung jauh dan menanam dalam-dalam azam. Apatah lagi bila timbul isu masyarakat Islam diganasi. Paling terkesan di hatiku ialah isu bosnia Herzegovina yang ku saksikan di universiti dahulu. Sungguh menyayatkan hatiku. Timbul keinsafan untuk berubah. Isu Palestin usah dikata, acap kali telah ku lihat. Tapi apa yang ku perbuat selain mengalir air mata kesedihan ? Cukupkah sekadar air mata sahaja ?

Dan adakah majlis-majlis ilmu yang telah aku hadiri selama ini telah dapat mengubah dan menambahkan amalku? Apakah bila aku melangkah keluar meninggalkan majlis ilmu itu, adakah itu langkah permulaan untuk aku melakukan perubahan atau segala ilmu itu hanya ditinggalkan di dewan-dewan dan bilik kuliah ?

Dan, andainya aku telah berazam untuk berubah, siapakah yang dapat membimbing diriku ? Dari manakah aku dapatkan sokongan moral untuk menghadapi segala susah payah, jerit payah untuk berubah ? Adakah para ilmuwan itu berada di sisiku saat itu semua ?

Maka ternyata majlis-majlis ilmu tidak bisa membuatkan aku berubah atau aku hanya menanam azam tanpa meletakkan usaha secara berterusan…..

Mengapa ini terjadi ?

Izinkan aku gunakan analogi kuliah vs tutorial..
Bagi mereka yang telah mengikuti pengajian di peringkat tinggi, pasti dapat merasai perbezaan antara kedua majlis ilmu ini. Di dewan kuliah, coraknya lebih berat kepada komunikasi sehala sahaja dimana objektif utama adalah untuk pensyarah menyampaikan ilmu. Interaksi dengan pelajar dengan pensyarah agak terbatas. Kerap kali, hanya pelajar yang pro-aktif berusaha mengambil inisiatif untuk bersemuka secara terus dengan pensyarah. Namun, bilangan pelajar yang ramai tidak memungkinkan semua pelajar dapat disantuni oleh pensyarah.
Dalam kelas tutorial, bilangan pelajar yang lebih sedikit memungkinkan interaksi secara terus dengan tutor. Tutor dapat memberikan lebih ruang kepada pelajar dan membina hubungan yang lebih terbuka dan rapat. Ini memungkinkan pelajar untuk bertanya dan tutor dapat menyantuni segala permasalahan pelajar. Namun, ini tidak bermakna kuliah itu tidak penting, ianya saling melengkapi.

Maka, begitulah jugalah usrah – ia seumpama kelas tutorial itu. Bilangan pelajar (mutarabbi) yang lebih sedikit memudahkan pendidik (murabbi) memberikan fokus kepada keperluan mereka. Dapat berbincang, meluahkan rasa dan berkongsi cerita. Hubungan boleh dibina dengan lebih baik dan dapat membentuk tautan hati. Hubungan ini boleh membina faham diantara murabbi dan mutarabbi. Ini akan dapat mendorong mutarabbi untuk melakukan perubahan dirinya mengikut bimbingan murabbi. Pemantauan juga dapat dilakukan secara berterusan dan tidak dilepaskan begitu sahaja…penjagaan secara individu yang berterusan begini, insyaALLAH akan dapat membantu perubahan itu lebih kekal berterusan..

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna usrahlah satu-satunya cara untuk membimbing manusia. Kuliah itu masih lagi perlu untuk melihat the ` big picuture’ , namun, kuliah tanpa kelas usrah itu pasti menyukarkan kerana tiada tempat untuk berkongsi ilmu dan cerita.

Berubah itu perlu, namun ianya bukan mudah. Manusia perlu dibimbing kerana kita tidak mungkin berubah sepantas kilat dengan sendirinya. Itu mustahil. Siapa yang boleh membimbing manusia selain daripada kalangan manusia itu sendiri ? Tapi manusia yang bagaimana ? Sudah tentulah kita perlu kembali kepada pencipta kita, ALLAH dan DIA telah hantarkan utusanNYA ke dunia.

Rasulullah telah pun menyampaikan risalahNYA. Dan adakah kewafatan Nabi menjadi alasan untuk kita tidak lagi mendapat bimbingan ? Bukankah Nabi telah menghasilkan manusia-manusia hebat yang menjadi pewaris Nabi ?

Suatu pencarian bermula…

Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam :
Barangsiapa yang Allah berkehendak padanya kebaikan, nescaya diberikan kepadanya kefahaman dalam agama.

bersambung..inshaALLAH

Advertisements