MAAFKAN AKU TEMAN…

jacaranda uq lake

Maafkan aku teman,
Kerna diriku yang punya kelemahan
Mungkin timbul resah di hati kalian
Kala melihat aku terkial-kial di atas jalan
Hilang punca dan arah jalan
Bahayakan diri dan pengguna jalan…

Maafkan aku teman,
Kerna sikapku yang cepat melontarkan
Tanpa sabar mendengar habis ungkapan
Mudah membuat rumusan
Sebelum habis dinoktahkan kalian..

Maafkan aku teman,
Kerna mudah berfikir yang bukan-bukan
Fikiranku yang mudah menerawang
Nun jauh meraban
Risaukan yang bukan-bukan..

Maafkan aku teman,
Kerna seringkali ingin mengawal keadaan
Mengongkong kebebasan kalian
Bantulah aku melurutkan
Posisi duniawiku yang menenggelamkan
Di lautan ujub yang dalam
Sebati degilnya engan…

Maafkan aku teman,
Jiwaku mudah goyah
Emosi diri yang sukar diramal
Sukarkan aku menahan sendu
Gelak tawaku agak terlalu
Aku jua bingung dengan diriku,
Apa lagi kalian yang berdamping dengan diriku…

Mungkin sahaja aku mencipta alasan
Mencipta segala kemungkinan
Membuat andaian yang bukan-bukan
Merumuskan tingkah laku kalian
Dalam usahaku cuba memahami kehidupan..

Mencari diri yang pernah hilang
Harga diri yang lesap dirampas sejarah silam
Hilang keyakinan untuk melangkah ke hadapan
Hingga ALLAH izinkan aku bertemu kalian

Dalam satu perjalanan yang panjang
Menuju jalan yang lurus, dalam satu agama : ISLAM

Bantulah aku wahai teman
Dalam aku bertatih dan mula berlari
Meninggalkan silam tanpa berpaling lagi
Dalam hijrah dan jihadku di jalan yang panjang dan sukar ini…

Surah Al-Anfal : 73
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

Seorang adik, insan istimewa..

my studio 5

Ku lihat dia tersandar di dinding sambil bercerita. Entah kenapa hatiku tertarik mendengar ceritanya lantas merapatinya. Dia ternyata sangat peramah orangnya. Terus kami bersembang dan dia bertanya itu dan ini tentang diriku pula. Aku cuma tersenyum apabila dia menyatakan kekagumannya dan berkata ..setiap orang ada bahagian masing-masing..aku mengulanginya hingga dia mengatakan itu adalah `tagline’ diriku. Aku cuma senyum.

Dia sungguh manusia yang tabah dan cekal tanpa merasakan bahawa dirinya istimewa berbanding orang lain. Kesakitan dan kepayahan yang dialami dirinya tidak sedikit pun mengoncangkan keyakinan diri yang mantap terpasak di dalam dirinya. Dia ulang kali mengatakan kagumnya pada diriku tapi dalam diam, aku sangat kagum pada dirinya. Teringat saat dirinya membuat persembahan `wayang kulit’ dengan berbahasa pekat dialek Kelantan, kami semua sakit perut menahan ketawa…

Dia sungguh kelakar bersahaja, ada bakat tersendiri untuk membuat lucu tanpa perlu berusaha sehabis daya…. Dia berkata dia hanya mampu berbahasa Inggeris yang apabila dia berbicara dalam bahasa Inggeris – pelajar TESL pun kagum dengan kefasihan dan slanganya – atau pun berbahasa Kelatan..

Pasti dia dibesarkan dalam suasana yang penuh kasih sayang sehingga dapat menanamkan semangat keyakinan yang begitu tinggi dalam dirinya. Sungguh, aku mencemburui logam yang ada pada dirimu wahai adikku…

Tiba ketika yang sesuai, aku menjemputnya untuk bermalam di studioku. Dia begitu teruja dan kami bersembang berkongsi rasa pada malam itu tanpa menyangka itulah pertemuan terakhir kami di bumi aussie..Banyak rasa yang diluahkan padaku, aku cuma mampu mendengar sebagai seorang kakak yang baru. Walaupun aku jauh lebih berusia daripada mereka di kelilingku di jalan ini pada waktu itu, namun aku masih baru di jalan ini. Aku pun sedang cuba memahami kerana masih banyak lagi perkara yang tidak ku fahami dengan sebenar-benar faham.

Bukan mudah menjadi seorang kakak di tengah-tengah mereka..mereka yang berjiwa muda, bersemangat dan telah mula bergerak maju ke hadapan di jalan ini. Aku cuba memahami jiwa mereka dan menyelami dunia itu bersama mereka. Aku dipandang sebagai `kakak’ namun hakikatnya, aku pun seperti mereka..terlalu baru di jalan ini.  Kerap kali aku cuma mampu menjadi pemerhati dan pendengar setia…

Aku faham bukan mudah memujuk hati. Hati ini terlalu kompleks dan sensitif. Hati yang dapat disentuh dengan izin ALLAH itulah yang akan dengar dan taat tanpa sebarang bantahan. Dalam pada berdakwah, boleh sahaja terjadi hati -hati itu bertambah menjauh apabila salah disentuh..dan kerap kali ianya berlaku tanpa sengaja. Dakwah itu seni kerana manusia ini unik dan setiap orang itu berbeza cara untuk disentuh hati mereka..

Surah An-nahl : 125

`Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.’

Semangat semata-mata juga tidak mampu bertahan lama. Mungkin juga semangat itu tercetus lantas menggerakkan kita hanya kerana ikut-ikutan dan tidak mahu tercicir bersama rakan-rakan yang lain. Peer pressure. Hakikatnya, hati ini masih lagi kabur dan keliru dan tidak tahu apa yang sebenarnya kita mahu. Lantas bergelut diri kita apabila pertembungan terjadi. Ini kerana dakwah ini tidak mungkin berjalan dengan dirajai nafsu tetapi atas keimanan kita pada ALLAH. Sepertimana berlaku semasa manusia berbondong-bondong memasuki agama Islam semasa pembukaan kota Mekah.

Surah Hujurat : 14-15

Orang-orang “A`raab” berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Islam ini perlu dikenalkan dengan cara yang menawan hati buat mereka yang sedang mencari. Yakinkan bahawa Islam itu penuh keindahan dan kasih sayang. Ikatkan hati dengan rasa kebersamaan. Memahami hakikat ini, aku cuba membuka topik yang dapat mencetuskan perasaan itu.

Lantas aku mula berkongsi cerita dengannya tentang solat. Aku cuma pernah membacanya tanpa mengetahui bahawa dalil kepada ceritaku itu tidaklah kuat mana. Dan tidaklah pula cerita itu dapat meningkatkan iman kita sebenarnya..maafkan aku wahai adikku, aku terlalu baru ketika ku dan aku cuma berkongsi cerita tentang apa yang aku tahu daripada bacaanku waktu itu. Aku membacanya daripada Diari Islam, hadiah dari seorang rakan…

http://www.islamgrid.gov.my/islam101/solat.php

Aku ceritakan padanya..

Tika kita solat Subuh, bayangkan perasaan Nabi Adam tatkala dihantar turun ke bumi dalam keadaan gelap gelita. Tatkala fajar menyingsing di ufuk timur, betapa perasaan takut itu lenyap berganti lega..lantas Nabi Adam solat 2 rakaat tanda syukur..

Tika kita solat Zuhur, cuba kita bayangkan perasaan Nabi Ibrahim apabila ALLAH turunkan kibas untuk mengganti anaknya..lantas Nabi Ibrahim solat tanda syukur ..

Tika kita solat Asar, cuba bayangkan perasaan Nabi Yunus apabila terlempar di pulau setelah sekian lama di dalam perut ikan..lantas solat tanda syukur diselamatkan …

Tika kita solat Maghrib, cuba ingati rasa Nabi Isa ketika baginda dikeluarkan dari  kejahilan dan kebodohan kaumnya..

Tika kita solat Isya’, cuba fahami rasa Nabi Musa semasa mencari jalan keluar dari buruan Firaun…

Atas izin ALLAH, dia tersentuh dengan cerita itu. Mula dia kembali bertenang dan bibirnya mula mengukir senyum….

Dakwah ini kerana ALLAH. Dakwah ini suci. Dakwah ini terus-terang. Dakwah ini dengan kasih sayang.

Surah Hud : 51-52

`Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)? Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.’

Islam perlu dirasai dan difahami kehebatannya sebelum kita boleh bercerita tentang bebanan dan tanggungjawab. Bila hati rasa indah dengan iman dan Islam, segala bebanan akan sanggup dipikul tanpa banyak soal.

Surah Yusuf : 108

‘Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.’

Aku doakan moga insan istimewa ini terus tsabat dan mendekati dirinya pada Islam dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Ameen.

 

 

 

 

 

 

 

Nikmat yang tidak kita syukuri

sand clock

Sudah lama aku tidak mencoret walhal ada banyak perkara ku fikirkan yang ingin ku kongsikan.

Nikmat. Ya, nikmat ALLAH berikan pada kita memang tidak terhitung namun yang lebih penting ialah sejauh mana kita tunjukkan rasa bersyukur dengan nikmat ALLAH berikan kepada kita ?

Surah Luqman : 12
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Faedah bersyukur itu untuk diri kita, tiada kesannya pada ALLAH jika kita tidak bersyukur, bahkan kita boleh menjadi manusia yang rugi..

Bagi mereka yang diberikan nikmat cuti belajar di luar negara, seperti aku; setuju atau tidak jika aku katakan bahawa hidup kita di kala cuti belajar itu ada banyak nikmatnya berbanding dengan hidup kita di kala kita bekerja di Malaysia..kita tidak perlu bersesak-sesak di jalan raya setiap pagi dan petang, membawa ke malam. Berhempas-pulas menyiapkan tugasan yang tidak putus-putus datang, mesyuarat yang tidak mengira masa dan bebanan yang pelbagai.

Namun, sejauh mana nikmat ini kita syukuri ?

Masa yang ALLAH berikan padaku sepanjang aku cuti belajar ini tidak terhitung banyaknya, aku tidak mampu mengakui bahawa aku habiskan masa itu sepenuhnya untuk PhDku. Masa terluang itu senantiasa ada. Sudah pasti masa itu perlu kita uruskan dengan baik, maka apakah kita kita uruskannya dengan membawa diri kita kepada kebaikan, menghampirkan diri kita kepada ALLAH atau menjauhkan diri dari ALLAH dengan perkara yang melalaikan ? Jika benar kita sibuk dengan tugasan PhD itu, adakah kita benar-benar manafaatnya setiap saat yang ada untuk PhD kita ?

Malangnya itulah alasan kita, tugasan PhD kita masih belum siap itu dah ini. Atau sebenarnya hati kita yang kosong itu tercari-cari suapan rohani lantas mencacatkan tumpuan kita untuk lakukan kerja PhD kita itu ?

Hati yang kosong. Fikiran menerawang. Mencari dan mencari. Tumpuan hilang.

Surah Al-Araf : 179

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Binatang ternak. Itu perumpamaan ALLAH terhadap orang yang lalai.
Lalai dengan perkara yang tidak menambahkan amal. Terleka dengan apa-apa perkara, walaupun melayari lamanweb yang baik pengisiannya namun andainya ia tidak membawa kepada amal itu juga boleh dikira lalai..Apatah lagi jika ia melekakan kita daripada tugasan dan amal ibadat kita.

Bukankah itu yang menganggu tumpuan kita untuk kekal berterusan ? Kurang pasti dengan tujuan kita lakukan PhD ini walau tahu yang kita perlu lakukannya..

Alhamdulillah, bagi mereka yang diizinkan ALLAH untuk dipilih mengikuti jalan tarbiyyah di saat kita diberikan nikmat cuti belajar ini. Itulah cara yang paling baik untuk menguruskan masa kita. Di saat kekosongan hati kita dek kerana kesunyian melanda tika berada di luar negara, pencarian kita menemukan kita pada jalan ini. Lantas, kita pun mengisi hati yang kosong selama ini.

Namun, jalan tarbiyyah ini menuntut pengorbanan. Di saat ia menuntut pengorbanan itu, kita acapkali berikan alasan. Lantas kita tertanya-tanya apakah benar jalan ini yang kita mahukan jika begini sekali pengorbanan yang perlu kita berikan ?

Surah Al-Taubah : 41

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Namun, itulah manusia, bila tiada, tercari-cari, bila dah ketemui, seharusnya ada rasa segera berangkat, malangnya timbul pula rasa ingin melarikan diri.

Nauzubillah min zalik.

Kita dengan alasan sibuk. Sibuk benar dengan pelbagai alasan itu dan ini.

Kita tahu bahawa tarbiyyah ini penting. Namun tanpa pengorbanan, ia tidak terbukti penting untuk kita.

Panahan Hati di Mesir

EGYPT cries

Aku kelu, kaget dan keliru
Menyaksikan kezaliman
Seakan sirah nabawiyyah itu berputaran ditayangkan
Segala ayat Al-Quran yang ku baca
Segala kisah Nabi dan para sahabat baginda
Menjadi hidup, bersiaran secara langsung
Benar-benar aku kelu tiada terkata..

Ku renung dalam-dalam
Hikmah disebalik titik hitam
Di bumi yang penuh liku-liku sejarah yang dalam
Menjadi saksi kepada penentangan
Oleh manusia yang gelojoh dan tamak haloba
Mengikut hawa dan keras hatinya
Biarkan diri dipimpini musuh abadi manusia
Yang hanya mahu manusia bersama-sama mereka ke dalam neraka

Mungkinkah ALLAH ingin tunjukkan,
Kepada kita yang dikatakan daie ini
Ada lagi kelemahan diri
Masih lagi tidak sehabis daya memberi
Kepada sebanyak mungkin umat manusia seluruhnya..

Atau mungkinkah,
Kita sendiri yang masih lagi enggan faham ?
Degil untuk terima teguran dan baiki binaan ?
Sedangkan ianya juga adalah kebenaran ?
Masih memandang serong kepada mereka yang kita labelkan sebagai tidak faham ?

Atau, mungkinkah kita kini, selepas diberikan menang,
Kita terhanyut dalam duniawi yang mengilaukan mata hati
Penuh rasa bangga tatkala melihat ramainya manusia mengekori
Menginginkan sanjungan bukan memperjuangkan

Lalu, mungkinkah kekalahan ini
Bukan atas sebab mereka yang telah capai syahid di sana
Akan tetapi, ianya adalah sebab KITA ?

Yang lemah imannya, buruk akhlaknya, busuk hatinya…
Katakan, apa lagi cara yang terbaik
Untuk memberi faham, menyampai teguran dan membina insan
Daripada tarbiyyah sebegini dariNYA ?

Apakah yang lebih baik daripada penyaksian dengan dua mata dan dua telinga ?
Jika kita masih lagi belum faham hikmah tersirat
Maka tibalah masa untuk kita berehat
Berjumpa si tabib untuk diperiksakan hati
Mudah-mudahan hati kita ini masih belum lagi mati..
Nauzubillah min zalik..

Surah Al-Imran : 139-143

Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita , padahal kamulah orang-orang yang tertinggi beriman.Jika kamu mendapat luka , maka sesungguhnya kaum itu telah mendapat luka yang sama dan demikian itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkan dia antara sesama manusia, dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman , dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan, Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang yang kafir. Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan nyata orang-orang yang sabar ? Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya.

Telah datang seruan itu

benam
DUM DUM DUM
Telah datang panggilan itu
Menyeruku, mengetuk-ngetuk pintu hatiku
Hatiku bertanya,
`Apakah lagi mahu ku tunggu ?’
`Apakah masih lagi ingin ku palingkan mukaku ?’
`Benamkan ia ke tanah dan buat-buat tidak dengar ?’

TIDAK! Sama sekali TIDAK !

Akan ku sahut seruan itu
Akan ku atur langkah seribu
Berlari sekuat hatiku
Jangan tinggalkan daku
Aku mahu berlari bersama kamu

Tidak lagi inginku sesali
Semalam yang suram
Apa yang telah berlalu
Tidak lagi perlu ku tangis sendu
Biar ia menjadi sejarah
Menjadi ibrah inshaALLAH

Aku ingin mencari mutiara ilmu
Aku ingin yakin itu terbenam
Kukuh di pundak sanubariku
Aku ingin berubah dan mara
Tiada apa perlu ku gundah
Inilah jalannya menuju ke syurga
Kini jalannya telah bermula..

Segalanya kini bermula dengan tarbiyyah..ayuh, berangkatlah !

Surah At-Taubah : 41
Berangkatlah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Surat buat adikku…

between two roads

Ku terima mesej berbunyi begini :

Salam akak, saya hendak mengadu pada akak tapi saya tahu jawapannya, saya jelas situasinya dan saya tahu jalan penyelesaiaan untuk masalah saya. Tapi saya lemah sangat sekarang, tambahan pula dengan DnT yang kurang teratur. Saya rindukan biah yang dahulu rasa tenang. Rasa hati lembut. Semenjak kat Malaysia saya rasa hati saya keras kerana tingkah laku masyarakat. Saya bersalah sebab tak dapat nak handle persepsi masyarakat, mindsetting masyarakat.

Walaikumsalam adikku..

Adikku yang dikasihi..

Memang kita ini insan yang lemah, kita amat perlu didengari dan mendengar dari org lain untuk meluahkan apa yang terbuku di hati walaupun kita telah tahu jawapannya..Izinkan k hanin memberikan secebis pandangan dari k hanin yang juga bukan insan sempurna.

Kita ini, usah sekali-kali letak kan kelemahan iman kita pada DnT yang kita rasa kurang teratur..kita kena redha yang begitulah ujian ALLAH dan memang kita terpaksa tarbiyyah diri kita sendiri. Basahkan jiwa kita yang kering dengan usaha sekeras jiwa sehabis daya. K hanin pernah ambil keputusan bermusafir seorang diri tatkala jiwa rasa kekeringan menunggu penyusunan usrah yang baru. Hampir 6 bulan k hanin menunggu.

Alhamdulillah, musafir itu diizinkan ALLAH untuk membasahkan jiwa k hanin..

Tidak k hanin nafikan memang mudah sekali untuk marah apabila berada di Malaysia yang masih terkial-kial membina insan-insan generasi rabbani dan Al-Quran. Setiap kali marah itu datang menyakiti hati k hanin, k hanin cuba sedaya-upaya menangkisnya jauh-jauh dan mengasihi mereka semua yang pada k hanin, ada sebab kenapa mindsetting dan akhlak mereka begitu begini.

Kena ingat, marah itu dibisikkan oleh syaitan untuk mengagalkan dakwah kita dan mencetuskan kebencian kita pada mereka dan mereka pada kita.

Itulah yang k hanin ingatkan diri k hanin setiap kali marah datang berbisik pada diri – surah an-nas. Memang betul apa yang dirasa, memang salah kita kerana tidak berupaya memahamkan mereka yang tidak faham fikrah kita. Itu menunjukkan betapa banyaknya lagi kerja yang perlu kita buat. Betapa lemahnya iman kita dan betapa lemahnya kita bila berada di medan amal. Sesungguhnya medan amal itu jauh lebih sukar daripada medan berkata-kata. Keadaan masyarakat juga menunjukkan betapa teruknya serangan pemikiran yang telah melanda masyarakat kita sehingga mengugat akidah mereka..

Marilah kita sama2 mengingati apa kah dakwah `kita’ – kita merujuk kepada IM kerana kita masih belum lagi layak menggelarkan diri kita sama dengan mereka (IM).

http://dakwah.info/fikrah-dakwah/dakwah-kita

Ingatlah 4 jenis golongan manusia yang akan kita hadapi dalam perjuangan yang panjang, sulit dan lelah ini.
Kuatkan hatimu wahai adikku. Menangislah untuk membasahi hatimu, mudah-mudahan tangisan itu bisa melembutkan hatimu itu. InshaALLAH.

Moga ALLAH ikhlaskan kita, istiqamahkan kita dan tsabatkan kita dijalan ini. Ameen. Ya Rabbal Al Amin.

Wallahualam

Baik vs Jahat : Suatu perjuangan

The-Strange-Case-of-Dr-Jekyll-Mr-Hyde_mini

Suatu ketika dahulu, pada waktu mudaku, aku amat membenci politik sehinggalah aku terbaca kata-kata hikmah daripada penulis novel terkenal ‘politik itu tidak kotor tetapi orang-orang politik itulah yang telah mengotorinya…’

Kata-kata hikmah itu membuatkan aku termenung panjang dan menyedarkan aku apa yang sebenarnya menjadi kebencian buatku. Lantas aku menggali makna kehidupan ini dengan lebih dalam. Tiap kali pilihanraya, kita yang sudah berada di zon selesa ketika itu sungguh bersungguh-sungguh, ambil sikap tidak bersungguh. Terutamanya anak muda seperti aku kala itu.

Ibarat semua itu urusan orang tua kerana hanya mereka sahaja yang pernah merasai pahit getir perjuangan menuntut kemerdekaan. Adakalanya aku pun kurang faham, siapakah sebenarnya musuh kita selepas kita bebas merdeka dari cengkaman penjajah dan komunis ? Berjuang melawan apa lagi ? Aghh…biarkanlah sahaja mereka yang tua-tua sahaja mengundi, kejayaan itu pasti, bukan ? Kejayaan boleh dijangka tanpa perlunya kami ini mengundi kan ?Anak-anak muda terus meminggirkan diri. Tidak mengerti erti hidup. Hanya kerana mereka tidak mengerti apa yang perlu diperjuangkan. Bukan sahaja tidak mengerti apa, malah tidak faham kenapa perlu adanya perjuangan sedangkan kita telah senang, aman dan damai hinggakan kita leka dengan bersenang-lenang..

Setelah lama dalam alpa dan leka dan di lalaikan sebegitu lama, baru kini ku mengerti persoalan ini sedikit demi sedikit..Memegang amanah mendedahkan aku dengan keadaan yang sebenarnya. Pelbagai perangai manusia yang adakalanya bertentangan dengan nilai-nilai murni, yang pasti disanjung oleh semua agama dan bukan hanya Islam cuma. Kerap kali pertentangan antara baik dan jahat itu berlaku kala aku meningkat dewasa, namun makna baik di dalam jiwaku pada waktu itu masih di kefahaman yang sangat superficial.

Kini ku fahami erti baik itu. Baik yang sebenar-benarnya ialah mengikut acuan pencipta kita, ALLAH. Selagi ada ruang dalam hidup kita, apa yang hati kita kata, apa yang akal kita fikir, apa yang kita dengar, apa yang kita kata, apa yang kita makan, apa yang kita pakai, apa yang kita buat, pada SETIAP MASA, tidak kira di mana, tidak disukai ALLAH dan tidak dibenarkan ALLAH, kita masih belum baik. Itulah perjuangan hidup ini. Baik vs Jahat. Kebenaran vs Kebatilan.

Setujukah semua bahawa manusia zaman moden ini terlalu zalim dan selfish ? Kezaliman sangat dirasai di kala ini, lihatlah keliling kita. Rasa selamat sudah tiada lagi, pengawal keselamatan sudah menjadi pandangan lumrah di negara kita ini. Hidup rasa kelam-kabut dan sangat tergesa-gesa. Di kala ini, aku merasa ada yang perlu diperjuangkan. Masyarakat semakin maju dan kaya namun yang susah melarat dan miskin ada di mana-mana sahaja. Makin lama makin nampak ada yang tidak kena dengan keadaan negara ini. Something is wrong, somewhere.

Kerap kali kita lihat sendiri kezaliman di hadapan mata. Apatah lagi mereka yang terlibat dalam pentadbiran negara. Terlalu banyak sebenarnya. Cuma kita adakalanya ambil sikap, agh, lantaklah…apatah lagi menyemai keiniginan untuk berbuat sesuatu untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik.

Menjadi lebih baik bukan kah perlu mengikut apa yang telah ditetapkan Pencipta alam ini, ALLAH. Mengapa kita berdegil dan mahu membuat acuan kita sendiri ?

Adakah kutipan hasil itu boleh menggantikan zakat sebagai contohnya..mengapa kita terlalu berani menggantikan hukum ALLAH dengan hukum kita sendiri ? Tidakkah kita nampak kesannya kini ? Adakah eknonomi bertambah baik dengan kutipan hasil itu sedangkan zakat tidak sekerasnya hasil dari segi penguatkuasaannya kepada umat Islam ?

Mengapa kita biarkan pekerja-pekerja Islam menjual dan menghidangkan arak kepada yang bukan Islam ? Siapa sanggup berhadapan kala kita dipertanggungjawabkan nanti ?

Lebih pelik apabila kita sedari semua ini namun masih tidak mahukan perubahan. Terlalu takut untuk keluar daripada `comfort zone’ yang diciptakan. Ibarat hidup dalam cerita dongengan yang sebenarnya hanyalah ilusi si tukang sihir. Kita harus lihat negara lain yang jauh `lebih baik’ daripada Malaysia walaupun berperang seperti Palestin. Ikutilah cerita mereka yang pernah ke sana, pasti mereka memahami erti negara yang aman damai yang sebenar-benarnya.

Negara kita ini perlukan perubahan. Jom mulakan dengan diri kita dulu.

Usah bawa fitnah kepada agama Islam ini.

Karakter diri yg bertentangan dengan Islam oleh penganutnya itulah fitnah terbesar kepada agama Islam, dalam hal-hal bersifat peribadi seperti menutup aurat, lalai dan leka, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, boros berbelanja..hinggalah kepada hal-hal besar seperti pentadbiran negara dan juga perkara-perkara lain..

Mengapa harus menolak perjuangan ke arah kebaikan seperti ini ?

Apakah alasan mu ?