Arkib

Sejarah penciptaan kita sebagai manusia

quran2

Ku ingin menulis lagi walau seharusnya ini ku tuliskan lama dahulu.

Kali ini mengenai sejarah penciptaan manusia yang pertama ; Nabi Adam. Juga mengenai peperangan berterusan dengan musuh manusia. Bagaimana permusuhan itu bermula dan apa natijahnya kepada kita yang telah diciptakan untuk menggelapai dunia ini.
Mari kita sama-sama membuka Al-Quran (terjemahan), Surah Al-Baqarah : 30-38, juga link kepada tafsir fi zilal yang menjadi rujukan saya…
http://www.kalamullah.com/shade-of-the-quran.html

Jom kita pergi satu demi satu ayat..

Surah Al-Baqarah : 30
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (30)

Allah telah memilih manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Khalifah ialah suatu kupasan yang cukup berat untuk dimuatkan di sini, cukup berat sehinggakan hatta langit, bumi dan gunung-ganang enggan memikulnya……(Surah Al-Ahzab 33:72)

Tatkala ALLAH berfirman akan pemilihan ini kepada malaikat, lantas timbul persoalan daripada kalangan malaikat. Ini bukanlah menunjukkan sikap membantah para malaikat yang sangat patuh dan taat kepada ALLAH, tetapi kerana malaikat tahu akan sunnahtullah penggantian. Sifat manusia yang ada kecenderungan untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini akan membawa kepada penghapusan mereka untuk digantikan dengan kaum yang lain. Ini banyak diceritakan dalam Al-Quran, seperti cerita kaum Nabi Nuh, Nabi Lut, Nabi Hud dan Nabi Saleh..mereka terhapus terus daripada muka bumi ini dan hanya meninggalkan jejak-jejak peninggalan buat kita jadikan iktibar (namun seringkali, kita hanya jadikan ia bahan sejarah untuk ditelahi bagi meluluskan diri dalam peperiksaan..) Namun, ini tidak berlaku kepada kita, umat Nabi Muhammad berkat doa daripada Nabi yang mulia ini dan ALLAH telah memakbulkan doa tersebut. Seharusnya, keistimewaan ini perlu dimanafaatkan sebaik-baiknya dan bukan dipersia.

Ayat seterusnya menerangkan bagaimana ALLAH menunjukkan kepada para malaikat akan keistimewaan yang ada pada manusia yang telah dipilih menjadi khalifah itu..

Surah Al-Baqarah : 31-33
Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. (31) Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (32) Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?. (33)

Nama itulah di katakan ilmu dan kefahaman. Belajar menggunakan akal. Memahami dengan hati. Lantas menghasilkan amal. Begitulah asas fitrah kejadian manusia.

Itulah sifat istimewa manusia, boleh belajar untuk memahami perkara yang tidak diketahui oleh manusia sebelum ini. Sifat yang hanya ada pada makhluk yang istimewa menjadikan merekalah yang paling layak menjadi khalifah di muka bumi ini. Oleh kerana keistimewaan ini, manusia diberikan penghormatan oleh ALLAH, namun ada makhluk yang enggan mengakui keistimewaan ini.

Surah Al-Baqarah : 34
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (34)

Inilah dosa pertama makhluk, yang bukan dilakukan oleh manusia tetapi iblis.
Atas satu sebab sahaja, TAKBUR.

Dan itu jugalah punca kepada dosa kita semua. Bila difikir-fikirkan, segala kemaksiatan dan dosa kita adalah kerana sifat TAKBUR.

Kita marah kerana kita mula memandang rendah orang yang kita marahi. TAKBUR.

Kita mengumpat orang kerana melihat diri kita lebih baik dari orang yang kita umpatkan. TAKBUR.

Kita tidak mahu mengikut arahan dan bersikap degil. TAKBUR.

The list goes on and on..you named it, you will find it there.

Lebih dahsyat lagi, sifat TAKBUR ini menyemai PhD, Penyakit Hasad Dengki.
Lantas bila Iblis diusir keluar dari syurga, atas rasa sakit hati, Iblis berusaha memperdayakan Nabi Adam untuk di usirkan dari syurga.

Surah Al-Baqarah : 35-36
Dan kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam Syurga dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim. (35) Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari Syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati). (36)

Sesungguhnya, bukan mudah tatkala suatu nikmat itu ALLAH tarik atas kezaliman diri kita sendiri. Jika kita tidak munasabah diri dan memohon keampunan dari ALLAH, pasti akan tersemai penyakit PhD di dalam hati tika melihat orang lain mendapat nikmat yang dahulu milik kita.
Itulah yang telah menggerakkan Iblis untuk berbuat apa sahaja demi menyesatkan manusia. Maka, pabila kita pun ada rasa hasad dengki, maka beristifarlah kerana itulah kemahuan musuh utama kita.

Akhirnya, turunlah Nabi Adam ke muka bumi…

Surah Al-Baqarah : 37-38
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. (37) Kami berfirman lagi: Turunlah kamu semuanya dari Syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (38)

…..dan sememangnya ALLAH telah berfirman pada ayat pertama (2:30) bahawa manusia ini untuk diciptakan sebagai khalifah di MUKA BUMI.

Maka, persoalannya di sini adalah, jika tugas khalifah itu di muka bumi, mengapakah Nabi Adam tidak terus di hantar ke bumi selepas diciptakan ?

Mengapa di awal penciptaan Nabi Adam, ALLAH telah menempatkan Nabi Adam di syurga ?

Tarbiyyah. Itulah jawapannya, seperti mana kita yang memerlukan program orientasi di tempat baru.

ALLAH sebagai murabbi ulung kepada manusia, telah mengajarkan Nabi Adam segala perkara yang perlu difahami dalam memikul tanggungjawab menjadi khalifah di muka bumi. Proses itu berlaku di syurga.

Diberikan ilmu dan kefahaman, mengikut perintah ALLAH dalam berbuat kebaikan. Tahu akan mudaratnya jika mengikut jejak langkah syaitan,mengenali musuh kejahatan. Menginsafi kesilapan lantas bertaubat serta meyakini akan ganjaran dan rahmat ALLAH tatkala mematuhi perintah ALLAH. Merasai sendiri nikmatnya syurga itu sendiri adalah sumber motivasi untuk taat dan patuh pada perintahNYA. Inilah pengajaran utama daripada kisah ini.

Tarbiyyah adalah proses yang berterusan berpandukan wahyu yang diturunkan dari NYA. Berterusan tanpa noktah. Agama ini telah dilengkapkan menerusi wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad. Al-Quran itulah panduan bagi tarbiyyah insan.

Persoalannya, telah lah kita ditarbiyyahkan melalui pemahaman Al-Quran atau ia hanya sekadar bahan bacaan yang diperdengarkan dalam aktiviti ritual seperti majlis-majlis khatam, tilawah dan sebagainya dan bukan untuk mentarbiyyahkan diri kita ?

Ayuh, marilah kita renung-renungkan…

Advertisements

MARAH

angry bird

Hatiku tergerak untuk menulis selesai usrah petang semalam.

Aku ingin menulis tentang marah. Ya, itulah mujahadahku dulu dan kini dan mungkin juga untuk masa-masa mendatang. Sifat pemarah dalam diri yang terbentuk sedari kecil, asalnya dari rasa tidak puas hati kerana sering dimarahi.

Aku berazam menggapai awan yang tinggi kerana sering dimarahi. Aku geram kerana rasa diperkecil-kecilkan selalu. Lantas, aku membesar sebagai pemarah.

Azamku memang tinggi tapi seolah-olah aku ingin mencari redha manusia dan bukan redha Ilahi. ALLAH mengizinkan segala impianku. Namun, kala aku rasa diriku telah sempurna, sifat takkabur mula menyelubungi diriku. Memandang rendah ketidaksempurnaan orang lain. Aku tidak peduli pandangan orang lain terhadapku.

Sungguh, aku manusia yang sombong tika itu. Bukan hamba.

Hinggalah, ALLAH izinkan roda kehidupan menjunam jatuh ke bumi. Aku dimarahi hampir oleh semua manusia yang ku sangkakan menyayangiku.

Rasa terperosok di satu sudut dunia yang kecil, gelap dan suram. Bersendirian, lantas bertafakur menyesali dosa-dosa semalam.

Kini, setelah ALLAH sedarkan aku dari tidur yang lena dan panjang itu, aku kembali menyosori ayat-ayatNYA…

Surah Al-Imran : 133-134
`Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (134)’

….`Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu…

Bersegeralah. Berlarilah untuk mendapatkan keampunanNYA. Berlumba-lumbalah.

Bukan berlumba untuk menjadi lebih pandai, lebih kaya atau lebih tinggi kedudukan. Bukan itu. Tapi berlumbalah untuk mendapat keampunanNYA.

Setiap perlumbaan pasti ada piala yang disediakan bagi pemenangnya.

Maka, apakah janji ALLAH untuk perlumbaan ini ?

…dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa…..

Syurga. Syurga yang sangat luas. Seluas langit dan bumi.

Bumi ini sudah dirasakan sangat luas. Langit ? Wallahualam. Tidak terbayang dek akal.

Namun, syurga itu bukan hak semua. Bukan. Tapi untuk golongan paling tinggi kedudukannya di sisi ALLAH.

Golongan elit. Orang yang bertaqwa. God-fearing.

Di dunia ini, golongan elit bersandarkan piawaian manusia. Yang hebat-hebat belaka. Andai ada ahli-ahlinya tersilap langkah, acap kali diundurkan dengan paksa. Tidak boleh, tidak boleh langsung lakukan kesilapan. Sesuatu yang sangat mustahil.

Bagaimana pula dengan golongan elit dalam Islam ? Mereka yang bertaqwa, yang dijanjikan ALLAH syurga abadi…

..iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik..

Derma harta. Kelihatan sangat mudah semasa kita senang. Masa susah ? Lagi susah masa susah..Infaqkan harta ini mengikut bahagian, jika kita cuma ada RM10 dan kita infaqkan RM5 – itulah ialah 50% dari keseluruhan wang yang kita punyai. Namun jika ada RM1000 dan kita infaqkan RM10, itu hanyalah 1%. Nafsu berbelanja kerap kali mengalahkan kita bukan ? Dan waktu senang kita bermujahadah dengan nafsu berbelanja. Kala susah, kita bermujahadah untuk redha dengan kesusahan itu.

Namun, apa yang lebih sukar ialah menahan marah. Maafkan orang lain.

menahan kemarahan dan orang yang memaafkan kesalahan orang lain…

Tahan marah itu. Jangan disemburkan seperti naga. Tahan. Jangan dikeluarkan.

Muka merah padam. Darah tersirap. Rasa bengang. Rasa nak menjerit. Rasa nak blah.

Itulah tanda yang jelas kita sedang marah. Apa yang kita buat, tahan atau lepaskan ?

Sering sahaja aku lepaskan marahku. Atau yang lebih buruk dari itu, aku memendamnya. Lantas marah menjadi dendam. Lantas aku berkata, I can forgive but I don’t forget.

That’s weird.

Bagaimana kita bisa memaafkan kalau kita tidak boleh melupakannya ?

Lantas, kita sering justifikasikan marah kita.

‘Dia tu jahat. Dia teruk. Dia sakitkan hati saya. Tau tak dia buat apa kat saya…bla..bla..bla’

Kita sering tengok salah orang pada kita hingga kita lupa nak tengok salah kita pada orang lain.

Apakah yang menyebabkan kejahatan orang lain ALLAH izinkan ditimpakan pada kita ? Atau mengapakah ALLAH izinkan mereka itu berdamping dengan kita ?

Pasti ada hikmahnya. Pasti ada tujuan ALLAH izinkan perkara itu berlaku. Pasti ada ujiannya.

Fikirkan. Fikirkan dalam-dalam.

Hanya kita yang kenal diri kita. Jadi, hanya kita yang tahu jawapannya. Mohon ALLAH izinkan kita mendapat jawapan dariNYA.

Cuma ada satu perkara yang ingin ku sampaikan.

Aku pernah mendengar seorang ustaz berkata begini,

`Orang yang marah ini biasanya ada sifat sombong. Ada ego. Sebab apa, kita sering lihat orang yang marah ialah orang yang kedudukannya lebih tinggi, seperti seorang guru kepada anak muridnya, seorang ibu kepada anaknya, seorang ketua kepada orang bawahannya dan sebagainya..’

Betul !

Kita marah sebab kita rasa kita lagi baik dari orang lain. Atau pun kita berperasaan..atau kita perasan..errr..sila buat pilihan. Tepuk dada, tanyalah hati. Hati, kau perasan ke ? Tak perlu tanya atau minta jawapan dari orang lain …

Ada beberapa langkah yang telah diajarkan oleh Nabi untuk mengawal marah.

Ingat pada ALLAH. Istifar banyak-banyak.
Minta ALLAH lindung kita daripada bisikan syaitan.
Ubah posisi.
Ambil wudhu’.

Mungkin kita boleh solat terus, solat hajat. Mohon ALLAH tenangkan hati kita. Doakan juga untuk orang yang kita marah tu.

Cara yang paling terkesan untuk tahan marah. Dan mudah-mudahan kita bisa menelan kemarahan itu.

Satu lagi ayat yang terkesan di hatiku berkaitan isu ini ialah..

Surah Al-Imran : 159
..Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya..

Maafkan. Pohonkan keampunan buat mereka. Berbincanglah. Bertawakallah.

Lantas hati kita menjerit lagi.

Mana boleh saya maafkan dia ? Teruk tau dia buat kat saya…
Ego kembali menyerang diri. Perlu ke kita melayan ego ini, lantas mengagalkan diri kita menjadi golongan elit itu ?

Dalam pada kita berkira-kira hendak maafkan orang lain, marilah kita mengenali sifat ALLAH Yang Maha Pengampun….dalam ayat seterusnya..

….Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)…

Buat keji tidak terperi sehingga memudaratkan orang lain, jika dilihat maksud perkataan fahisyah, dan pabila mereka bersegera mohon keampunan dan tidak terus melakukan perbuatan itu, mereka masih lagi dikategorikan sebagai golongan elit itu.

Golongan elit pun masih ALLAH ampunkan kesalahan mereka. Difahami bahawa manusia ini tidak sempurna. Tidak seperti golongan elit ciptaan manusia. Mesti perfect 10.

ALLAH ampunkan mereka yang mohon keampuan setelah berhenti melakukan perkara keji. Kita ?
Muhasabahlah diri….

Teringat doa Nabi masa kena baling batu di Taif…semasa Nabi menjadi mangsa kemarahan manusia

` Ya ALLAH..
kepadaMu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
Dan betapa sedikit kemampuanku
Serta kehinaanku di hadapan manusia
Wahai sebaik-baik Pemberi kasih sayang,
Engkaulah Tuhan orang yang lemah dan Engkau pula adalah Tuhanku.
Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku, Asalkan Engkau tidak murka kepadaku maka tiadalah keberatan bagiku
Aku berlindung dengan cahaya WajahMu yang akan menerangi seluruh kegelapan
Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
Untuk melepaskan aku daripada murkaMu,
Hanya kepadaMu aku merintih berharap mendapat keredhaanMu. Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali denganMu.

Memang mustahil untuk tidak marah. Tetapi tidak mustahil untuk mengawalnya. Berdiam diri tatkala marah menguasai diri itu adakalanya lebih baik. Kerana acap kali kita melukai orang lain tatkala berkata dalam keadaan marah, kala syaitan berbisik hebat di telinga ini.

Nafsu amarah itu perlu dilatih. Perlu diajar. Perlu diperingatkan selalu. Carilah sahabat dan majlis-majlis ilmu untuk membantu.

Kita tidak mahu marah itu bertukar menjadi dendam. Dendam yang boleh membusukkan hati. Ia bisa sahaja dilampiaskan pada orang yang tidak bersalah. Tanpa sedar, kita mungkin akan melepaskan marah kita pada orang yang tidak bersalah. Makin bertambah-bertambahlah salah kita sesama manusia. Dosa yang memerlukan kita memohon maaf daripada manusia, bukan dengan ALLAH.

Ingat senang hendak dapatkan kemaafan daripada orang yang kita marahi ?

Kita tidak mahu ia menjadi rantai dan bebanan kita di akhirat nanti. Tercari-cari manusia yang perlu kita mohon maaf. Lebih parah, orang itu tidak mahu maafkan kita. Ketahuilah, itulah kerisauan terbesar di hatiku kini…

Lebih teruk apabila orang yang kita marahi juga mungkin akan dijangkiti penyakit hati yang sama. Lantas merebak menjadi virus kepada masyarakat. Bukankah itu yang kelihatan ada pada masyarakat hari ini ? Sampai bilakah ia akan berterusan begitu ?

Everybody is angry.

Nauzubillah bin zalik.

Kitaran ini perlu dihentikan. Dan ia bermula dengan diri kita.
Insha ALLAH.