Archive | November 2013

Kematian yang membahagiakan..

kubur

Aku tersedu kelu
Menyaksikan bahagianya si dia
Betapa ALLAH menyayanginya
Sehingga seluruh makhluk menangisi pemergiannya
Suatu yang amat ku damba
Kerna aku pendosa
Menginginkan kemaafan dan ampunan
Dari manusia yang pernah aku sakiti hati mereka…

Aku terfikir tentang kita
Betapa kita terlalu yakin di zon selesa
Hatta kita yang dipilihNya di jalan ini
Kita kerap memandang enteng mereka di luar sana
Seolah-olah kita rasa ALLAH hanya mengasihi kita
Seolah-olah kita rasa syurga itu telah ALLAH jaminkan untuk kita
Seolah-olah kita rasa pasti kita bahagia di sana !
Kita, pastinya, telah dilalaikan syaitan durjana !
Mainkan akal dan hati kita untuk berangan-angan cuma !

Kita ini, katanya lebih dari buatnya,
Walau kita tahu, ALLAH benci kalau kita begitu
Lalu, mungkinkan, kita dibiarkan alpa dan leka
Pada perkara yang tiada manafaatnya ?
Oh YA ALLAH….

Apa ertinya hidup kita ini
Jika kita tiada erti pada hidup ini
Hadir kita tiada makna di sisi
Pergi kita tiada ditangisi
Mengadap Ilahi nanti kosong sekali…
Oh YA ALLAH…

Aku cemburu padamu wahai saudaraku,
Kau pemuda istimewa di sisiNYA inshaALLAH
Sungguh kau mengetuk hati insan beribu
Seperti mana para syuhada terdahulu
Kematian mereka suatu pukulan
Yang kuat menampar dari dalam
Aku berazam untuk aku menyusuli laluan hidup sepertimu…

Ameen..Ya Rabbal Al Amin..

Surah Al-Baqarah : 154

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (154)

BERUBAH MELALUI TARBIYYAH : Mengapa usrah ? (Bah. 1)

usrah

Aku mengenali usrah hanya setelah usiaku telah mencecah dekad ke-empat. Syukur Alhamdulillah, ALLAH telah memilihku dan memberikan ku peluang ini. Aku tidak menyesali berjumpa jalan ini di kelewatan usiaku setelah aku lalui jalan-jalan kesesatan sebelum ini. Sejarah silam yang penuh kesesatan itu pasti ALLAH takdirkan agar dapatlah aku menumbangkan kesesatan itu dengan pengetahuan yang ada padaku, insyaALLAH.

Di kala ini, izinkan aku bercerita tentang hebat dan istimewanya usrah, yang sangat penting dalam tarbiyyah.

Bukan tidak pernah aku hadiri majlis-majlis ilmu dan agama dalam hidupku selama ini. Kerap. Jiwaku yang mencintai ilmu tidak akan lepaskan peluang itu. Tapi kesannya ? Sangat minimal. Ya, aku akui adakalanya pengisian majlis-majlis ilmu itu membuatkan aku tersentak, merenung jauh dan menanam dalam-dalam azam. Apatah lagi bila timbul isu masyarakat Islam diganasi. Paling terkesan di hatiku ialah isu bosnia Herzegovina yang ku saksikan di universiti dahulu. Sungguh menyayatkan hatiku. Timbul keinsafan untuk berubah. Isu Palestin usah dikata, acap kali telah ku lihat. Tapi apa yang ku perbuat selain mengalir air mata kesedihan ? Cukupkah sekadar air mata sahaja ?

Dan adakah majlis-majlis ilmu yang telah aku hadiri selama ini telah dapat mengubah dan menambahkan amalku? Apakah bila aku melangkah keluar meninggalkan majlis ilmu itu, adakah itu langkah permulaan untuk aku melakukan perubahan atau segala ilmu itu hanya ditinggalkan di dewan-dewan dan bilik kuliah ?

Dan, andainya aku telah berazam untuk berubah, siapakah yang dapat membimbing diriku ? Dari manakah aku dapatkan sokongan moral untuk menghadapi segala susah payah, jerit payah untuk berubah ? Adakah para ilmuwan itu berada di sisiku saat itu semua ?

Maka ternyata majlis-majlis ilmu tidak bisa membuatkan aku berubah atau aku hanya menanam azam tanpa meletakkan usaha secara berterusan…..

Mengapa ini terjadi ?

Izinkan aku gunakan analogi kuliah vs tutorial..
Bagi mereka yang telah mengikuti pengajian di peringkat tinggi, pasti dapat merasai perbezaan antara kedua majlis ilmu ini. Di dewan kuliah, coraknya lebih berat kepada komunikasi sehala sahaja dimana objektif utama adalah untuk pensyarah menyampaikan ilmu. Interaksi dengan pelajar dengan pensyarah agak terbatas. Kerap kali, hanya pelajar yang pro-aktif berusaha mengambil inisiatif untuk bersemuka secara terus dengan pensyarah. Namun, bilangan pelajar yang ramai tidak memungkinkan semua pelajar dapat disantuni oleh pensyarah.
Dalam kelas tutorial, bilangan pelajar yang lebih sedikit memungkinkan interaksi secara terus dengan tutor. Tutor dapat memberikan lebih ruang kepada pelajar dan membina hubungan yang lebih terbuka dan rapat. Ini memungkinkan pelajar untuk bertanya dan tutor dapat menyantuni segala permasalahan pelajar. Namun, ini tidak bermakna kuliah itu tidak penting, ianya saling melengkapi.

Maka, begitulah jugalah usrah – ia seumpama kelas tutorial itu. Bilangan pelajar (mutarabbi) yang lebih sedikit memudahkan pendidik (murabbi) memberikan fokus kepada keperluan mereka. Dapat berbincang, meluahkan rasa dan berkongsi cerita. Hubungan boleh dibina dengan lebih baik dan dapat membentuk tautan hati. Hubungan ini boleh membina faham diantara murabbi dan mutarabbi. Ini akan dapat mendorong mutarabbi untuk melakukan perubahan dirinya mengikut bimbingan murabbi. Pemantauan juga dapat dilakukan secara berterusan dan tidak dilepaskan begitu sahaja…penjagaan secara individu yang berterusan begini, insyaALLAH akan dapat membantu perubahan itu lebih kekal berterusan..

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna usrahlah satu-satunya cara untuk membimbing manusia. Kuliah itu masih lagi perlu untuk melihat the ` big picuture’ , namun, kuliah tanpa kelas usrah itu pasti menyukarkan kerana tiada tempat untuk berkongsi ilmu dan cerita.

Berubah itu perlu, namun ianya bukan mudah. Manusia perlu dibimbing kerana kita tidak mungkin berubah sepantas kilat dengan sendirinya. Itu mustahil. Siapa yang boleh membimbing manusia selain daripada kalangan manusia itu sendiri ? Tapi manusia yang bagaimana ? Sudah tentulah kita perlu kembali kepada pencipta kita, ALLAH dan DIA telah hantarkan utusanNYA ke dunia.

Rasulullah telah pun menyampaikan risalahNYA. Dan adakah kewafatan Nabi menjadi alasan untuk kita tidak lagi mendapat bimbingan ? Bukankah Nabi telah menghasilkan manusia-manusia hebat yang menjadi pewaris Nabi ?

Suatu pencarian bermula…

Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam :
Barangsiapa yang Allah berkehendak padanya kebaikan, nescaya diberikan kepadanya kefahaman dalam agama.

bersambung..inshaALLAH

Sekalung kemaafan dariku

Pelangi at fawz

Aku tahu kau adakalanya
Amat tidak tahu
Untuk berbuat apa dengan diriku
Terlalu banyak kehendakku
Terlalu banyak mahuku
Hingga kau jadi keliru
Buntu fikiranmu

Bukan mudah berbicara dengan aku
Fikiran dan ucapku berubah-ubah
Sekejap begitu, sekejap begini
Mungkin saja aku ini hendak memenangkan diri
Lantas mencipta alasan itu dan ini…

Perasaanku juga berbolak-balik terlalu
Antara gembira dan duka
Usah ditanya kenapa, sukar aku mengawalnya
Walau sungguh aku mencuba
Aku berdoa siang dan malam
Agar hati ini ALLAH tenangkan
Setenang air di kolam
Agar aku bisa menjadi insan yang tenang sentiasa
Memandang baik semua perkara
Tiada rasa dengki dan iri hati
Yang bisa menjadikan segalanya sia-sia…

Sabarmu menghadapi kerenahku
Pasti ALLAH tahu
Moga DIA membalas sabarmu
Dengan sebaik-baik anugerah
Sebanyak keringat yang kau perah
Menahan hatimu dari rasa amarah
Menyantuni diriku walau hati tercalar..

Sungguh kita tahu ini bukan mudah
Jalannya panjang dan amat sukar
Hanya hati yang dipimpin Ilahi
Yang bisa melalui jalan ini
Kita bertemu kerana DIA
Mudah-mudahan, pabila kita berpisah nanti
Dalam pada kita sedang menuju ke arahNYA
Genggaman erat ukhuwah ini kerana ALLAH
Moga kita dapat redhaNYA, inshaALLAH !

Sekalung kemaafan dariku
Wahai ukhtiku
Moga usaha kita dalam membina ukhwwah ini
Ada ertinya disisi Ilahi..

Surah Al-Kahfi : 28
‘Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka [karena] mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.’