Archive | Oktober 2013

MAAFKAN AKU TEMAN…

jacaranda uq lake

Maafkan aku teman,
Kerna diriku yang punya kelemahan
Mungkin timbul resah di hati kalian
Kala melihat aku terkial-kial di atas jalan
Hilang punca dan arah jalan
Bahayakan diri dan pengguna jalan…

Maafkan aku teman,
Kerna sikapku yang cepat melontarkan
Tanpa sabar mendengar habis ungkapan
Mudah membuat rumusan
Sebelum habis dinoktahkan kalian..

Maafkan aku teman,
Kerna mudah berfikir yang bukan-bukan
Fikiranku yang mudah menerawang
Nun jauh meraban
Risaukan yang bukan-bukan..

Maafkan aku teman,
Kerna seringkali ingin mengawal keadaan
Mengongkong kebebasan kalian
Bantulah aku melurutkan
Posisi duniawiku yang menenggelamkan
Di lautan ujub yang dalam
Sebati degilnya engan…

Maafkan aku teman,
Jiwaku mudah goyah
Emosi diri yang sukar diramal
Sukarkan aku menahan sendu
Gelak tawaku agak terlalu
Aku jua bingung dengan diriku,
Apa lagi kalian yang berdamping dengan diriku…

Mungkin sahaja aku mencipta alasan
Mencipta segala kemungkinan
Membuat andaian yang bukan-bukan
Merumuskan tingkah laku kalian
Dalam usahaku cuba memahami kehidupan..

Mencari diri yang pernah hilang
Harga diri yang lesap dirampas sejarah silam
Hilang keyakinan untuk melangkah ke hadapan
Hingga ALLAH izinkan aku bertemu kalian

Dalam satu perjalanan yang panjang
Menuju jalan yang lurus, dalam satu agama : ISLAM

Bantulah aku wahai teman
Dalam aku bertatih dan mula berlari
Meninggalkan silam tanpa berpaling lagi
Dalam hijrah dan jihadku di jalan yang panjang dan sukar ini…

Surah Al-Anfal : 73
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

Advertisements

Seorang adik, insan istimewa..

my studio 5

Ku lihat dia tersandar di dinding sambil bercerita. Entah kenapa hatiku tertarik mendengar ceritanya lantas merapatinya. Dia ternyata sangat peramah orangnya. Terus kami bersembang dan dia bertanya itu dan ini tentang diriku pula. Aku cuma tersenyum apabila dia menyatakan kekagumannya dan berkata ..setiap orang ada bahagian masing-masing..aku mengulanginya hingga dia mengatakan itu adalah `tagline’ diriku. Aku cuma senyum.

Dia sungguh manusia yang tabah dan cekal tanpa merasakan bahawa dirinya istimewa berbanding orang lain. Kesakitan dan kepayahan yang dialami dirinya tidak sedikit pun mengoncangkan keyakinan diri yang mantap terpasak di dalam dirinya. Dia ulang kali mengatakan kagumnya pada diriku tapi dalam diam, aku sangat kagum pada dirinya. Teringat saat dirinya membuat persembahan `wayang kulit’ dengan berbahasa pekat dialek Kelantan, kami semua sakit perut menahan ketawa…

Dia sungguh kelakar bersahaja, ada bakat tersendiri untuk membuat lucu tanpa perlu berusaha sehabis daya…. Dia berkata dia hanya mampu berbahasa Inggeris yang apabila dia berbicara dalam bahasa Inggeris – pelajar TESL pun kagum dengan kefasihan dan slanganya – atau pun berbahasa Kelatan..

Pasti dia dibesarkan dalam suasana yang penuh kasih sayang sehingga dapat menanamkan semangat keyakinan yang begitu tinggi dalam dirinya. Sungguh, aku mencemburui logam yang ada pada dirimu wahai adikku…

Tiba ketika yang sesuai, aku menjemputnya untuk bermalam di studioku. Dia begitu teruja dan kami bersembang berkongsi rasa pada malam itu tanpa menyangka itulah pertemuan terakhir kami di bumi aussie..Banyak rasa yang diluahkan padaku, aku cuma mampu mendengar sebagai seorang kakak yang baru. Walaupun aku jauh lebih berusia daripada mereka di kelilingku di jalan ini pada waktu itu, namun aku masih baru di jalan ini. Aku pun sedang cuba memahami kerana masih banyak lagi perkara yang tidak ku fahami dengan sebenar-benar faham.

Bukan mudah menjadi seorang kakak di tengah-tengah mereka..mereka yang berjiwa muda, bersemangat dan telah mula bergerak maju ke hadapan di jalan ini. Aku cuba memahami jiwa mereka dan menyelami dunia itu bersama mereka. Aku dipandang sebagai `kakak’ namun hakikatnya, aku pun seperti mereka..terlalu baru di jalan ini.  Kerap kali aku cuma mampu menjadi pemerhati dan pendengar setia…

Aku faham bukan mudah memujuk hati. Hati ini terlalu kompleks dan sensitif. Hati yang dapat disentuh dengan izin ALLAH itulah yang akan dengar dan taat tanpa sebarang bantahan. Dalam pada berdakwah, boleh sahaja terjadi hati -hati itu bertambah menjauh apabila salah disentuh..dan kerap kali ianya berlaku tanpa sengaja. Dakwah itu seni kerana manusia ini unik dan setiap orang itu berbeza cara untuk disentuh hati mereka..

Surah An-nahl : 125

`Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.’

Semangat semata-mata juga tidak mampu bertahan lama. Mungkin juga semangat itu tercetus lantas menggerakkan kita hanya kerana ikut-ikutan dan tidak mahu tercicir bersama rakan-rakan yang lain. Peer pressure. Hakikatnya, hati ini masih lagi kabur dan keliru dan tidak tahu apa yang sebenarnya kita mahu. Lantas bergelut diri kita apabila pertembungan terjadi. Ini kerana dakwah ini tidak mungkin berjalan dengan dirajai nafsu tetapi atas keimanan kita pada ALLAH. Sepertimana berlaku semasa manusia berbondong-bondong memasuki agama Islam semasa pembukaan kota Mekah.

Surah Hujurat : 14-15

Orang-orang “A`raab” berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Islam ini perlu dikenalkan dengan cara yang menawan hati buat mereka yang sedang mencari. Yakinkan bahawa Islam itu penuh keindahan dan kasih sayang. Ikatkan hati dengan rasa kebersamaan. Memahami hakikat ini, aku cuba membuka topik yang dapat mencetuskan perasaan itu.

Lantas aku mula berkongsi cerita dengannya tentang solat. Aku cuma pernah membacanya tanpa mengetahui bahawa dalil kepada ceritaku itu tidaklah kuat mana. Dan tidaklah pula cerita itu dapat meningkatkan iman kita sebenarnya..maafkan aku wahai adikku, aku terlalu baru ketika ku dan aku cuma berkongsi cerita tentang apa yang aku tahu daripada bacaanku waktu itu. Aku membacanya daripada Diari Islam, hadiah dari seorang rakan…

http://www.islamgrid.gov.my/islam101/solat.php

Aku ceritakan padanya..

Tika kita solat Subuh, bayangkan perasaan Nabi Adam tatkala dihantar turun ke bumi dalam keadaan gelap gelita. Tatkala fajar menyingsing di ufuk timur, betapa perasaan takut itu lenyap berganti lega..lantas Nabi Adam solat 2 rakaat tanda syukur..

Tika kita solat Zuhur, cuba kita bayangkan perasaan Nabi Ibrahim apabila ALLAH turunkan kibas untuk mengganti anaknya..lantas Nabi Ibrahim solat tanda syukur ..

Tika kita solat Asar, cuba bayangkan perasaan Nabi Yunus apabila terlempar di pulau setelah sekian lama di dalam perut ikan..lantas solat tanda syukur diselamatkan …

Tika kita solat Maghrib, cuba ingati rasa Nabi Isa ketika baginda dikeluarkan dari  kejahilan dan kebodohan kaumnya..

Tika kita solat Isya’, cuba fahami rasa Nabi Musa semasa mencari jalan keluar dari buruan Firaun…

Atas izin ALLAH, dia tersentuh dengan cerita itu. Mula dia kembali bertenang dan bibirnya mula mengukir senyum….

Dakwah ini kerana ALLAH. Dakwah ini suci. Dakwah ini terus-terang. Dakwah ini dengan kasih sayang.

Surah Hud : 51-52

`Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)? Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.’

Islam perlu dirasai dan difahami kehebatannya sebelum kita boleh bercerita tentang bebanan dan tanggungjawab. Bila hati rasa indah dengan iman dan Islam, segala bebanan akan sanggup dipikul tanpa banyak soal.

Surah Yusuf : 108

‘Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.’

Aku doakan moga insan istimewa ini terus tsabat dan mendekati dirinya pada Islam dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Ameen.