Archive | Ogos 2013

Nikmat yang tidak kita syukuri

sand clock

Sudah lama aku tidak mencoret walhal ada banyak perkara ku fikirkan yang ingin ku kongsikan.

Nikmat. Ya, nikmat ALLAH berikan pada kita memang tidak terhitung namun yang lebih penting ialah sejauh mana kita tunjukkan rasa bersyukur dengan nikmat ALLAH berikan kepada kita ?

Surah Luqman : 12
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Faedah bersyukur itu untuk diri kita, tiada kesannya pada ALLAH jika kita tidak bersyukur, bahkan kita boleh menjadi manusia yang rugi..

Bagi mereka yang diberikan nikmat cuti belajar di luar negara, seperti aku; setuju atau tidak jika aku katakan bahawa hidup kita di kala cuti belajar itu ada banyak nikmatnya berbanding dengan hidup kita di kala kita bekerja di Malaysia..kita tidak perlu bersesak-sesak di jalan raya setiap pagi dan petang, membawa ke malam. Berhempas-pulas menyiapkan tugasan yang tidak putus-putus datang, mesyuarat yang tidak mengira masa dan bebanan yang pelbagai.

Namun, sejauh mana nikmat ini kita syukuri ?

Masa yang ALLAH berikan padaku sepanjang aku cuti belajar ini tidak terhitung banyaknya, aku tidak mampu mengakui bahawa aku habiskan masa itu sepenuhnya untuk PhDku. Masa terluang itu senantiasa ada. Sudah pasti masa itu perlu kita uruskan dengan baik, maka apakah kita kita uruskannya dengan membawa diri kita kepada kebaikan, menghampirkan diri kita kepada ALLAH atau menjauhkan diri dari ALLAH dengan perkara yang melalaikan ? Jika benar kita sibuk dengan tugasan PhD itu, adakah kita benar-benar manafaatnya setiap saat yang ada untuk PhD kita ?

Malangnya itulah alasan kita, tugasan PhD kita masih belum siap itu dah ini. Atau sebenarnya hati kita yang kosong itu tercari-cari suapan rohani lantas mencacatkan tumpuan kita untuk lakukan kerja PhD kita itu ?

Hati yang kosong. Fikiran menerawang. Mencari dan mencari. Tumpuan hilang.

Surah Al-Araf : 179

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Binatang ternak. Itu perumpamaan ALLAH terhadap orang yang lalai.
Lalai dengan perkara yang tidak menambahkan amal. Terleka dengan apa-apa perkara, walaupun melayari lamanweb yang baik pengisiannya namun andainya ia tidak membawa kepada amal itu juga boleh dikira lalai..Apatah lagi jika ia melekakan kita daripada tugasan dan amal ibadat kita.

Bukankah itu yang menganggu tumpuan kita untuk kekal berterusan ? Kurang pasti dengan tujuan kita lakukan PhD ini walau tahu yang kita perlu lakukannya..

Alhamdulillah, bagi mereka yang diizinkan ALLAH untuk dipilih mengikuti jalan tarbiyyah di saat kita diberikan nikmat cuti belajar ini. Itulah cara yang paling baik untuk menguruskan masa kita. Di saat kekosongan hati kita dek kerana kesunyian melanda tika berada di luar negara, pencarian kita menemukan kita pada jalan ini. Lantas, kita pun mengisi hati yang kosong selama ini.

Namun, jalan tarbiyyah ini menuntut pengorbanan. Di saat ia menuntut pengorbanan itu, kita acapkali berikan alasan. Lantas kita tertanya-tanya apakah benar jalan ini yang kita mahukan jika begini sekali pengorbanan yang perlu kita berikan ?

Surah Al-Taubah : 41

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Namun, itulah manusia, bila tiada, tercari-cari, bila dah ketemui, seharusnya ada rasa segera berangkat, malangnya timbul pula rasa ingin melarikan diri.

Nauzubillah min zalik.

Kita dengan alasan sibuk. Sibuk benar dengan pelbagai alasan itu dan ini.

Kita tahu bahawa tarbiyyah ini penting. Namun tanpa pengorbanan, ia tidak terbukti penting untuk kita.

Panahan Hati di Mesir

EGYPT cries

Aku kelu, kaget dan keliru
Menyaksikan kezaliman
Seakan sirah nabawiyyah itu berputaran ditayangkan
Segala ayat Al-Quran yang ku baca
Segala kisah Nabi dan para sahabat baginda
Menjadi hidup, bersiaran secara langsung
Benar-benar aku kelu tiada terkata..

Ku renung dalam-dalam
Hikmah disebalik titik hitam
Di bumi yang penuh liku-liku sejarah yang dalam
Menjadi saksi kepada penentangan
Oleh manusia yang gelojoh dan tamak haloba
Mengikut hawa dan keras hatinya
Biarkan diri dipimpini musuh abadi manusia
Yang hanya mahu manusia bersama-sama mereka ke dalam neraka

Mungkinkah ALLAH ingin tunjukkan,
Kepada kita yang dikatakan daie ini
Ada lagi kelemahan diri
Masih lagi tidak sehabis daya memberi
Kepada sebanyak mungkin umat manusia seluruhnya..

Atau mungkinkah,
Kita sendiri yang masih lagi enggan faham ?
Degil untuk terima teguran dan baiki binaan ?
Sedangkan ianya juga adalah kebenaran ?
Masih memandang serong kepada mereka yang kita labelkan sebagai tidak faham ?

Atau, mungkinkah kita kini, selepas diberikan menang,
Kita terhanyut dalam duniawi yang mengilaukan mata hati
Penuh rasa bangga tatkala melihat ramainya manusia mengekori
Menginginkan sanjungan bukan memperjuangkan

Lalu, mungkinkah kekalahan ini
Bukan atas sebab mereka yang telah capai syahid di sana
Akan tetapi, ianya adalah sebab KITA ?

Yang lemah imannya, buruk akhlaknya, busuk hatinya…
Katakan, apa lagi cara yang terbaik
Untuk memberi faham, menyampai teguran dan membina insan
Daripada tarbiyyah sebegini dariNYA ?

Apakah yang lebih baik daripada penyaksian dengan dua mata dan dua telinga ?
Jika kita masih lagi belum faham hikmah tersirat
Maka tibalah masa untuk kita berehat
Berjumpa si tabib untuk diperiksakan hati
Mudah-mudahan hati kita ini masih belum lagi mati..
Nauzubillah min zalik..

Surah Al-Imran : 139-143

Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita , padahal kamulah orang-orang yang tertinggi beriman.Jika kamu mendapat luka , maka sesungguhnya kaum itu telah mendapat luka yang sama dan demikian itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkan dia antara sesama manusia, dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman , dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan, Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang yang kafir. Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan nyata orang-orang yang sabar ? Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya.