Archive | Mei 2013

Baik vs Jahat : Suatu perjuangan

The-Strange-Case-of-Dr-Jekyll-Mr-Hyde_mini

Suatu ketika dahulu, pada waktu mudaku, aku amat membenci politik sehinggalah aku terbaca kata-kata hikmah daripada penulis novel terkenal ‘politik itu tidak kotor tetapi orang-orang politik itulah yang telah mengotorinya…’

Kata-kata hikmah itu membuatkan aku termenung panjang dan menyedarkan aku apa yang sebenarnya menjadi kebencian buatku. Lantas aku menggali makna kehidupan ini dengan lebih dalam. Tiap kali pilihanraya, kita yang sudah berada di zon selesa ketika itu sungguh bersungguh-sungguh, ambil sikap tidak bersungguh. Terutamanya anak muda seperti aku kala itu.

Ibarat semua itu urusan orang tua kerana hanya mereka sahaja yang pernah merasai pahit getir perjuangan menuntut kemerdekaan. Adakalanya aku pun kurang faham, siapakah sebenarnya musuh kita selepas kita bebas merdeka dari cengkaman penjajah dan komunis ? Berjuang melawan apa lagi ? Aghh…biarkanlah sahaja mereka yang tua-tua sahaja mengundi, kejayaan itu pasti, bukan ? Kejayaan boleh dijangka tanpa perlunya kami ini mengundi kan ?Anak-anak muda terus meminggirkan diri. Tidak mengerti erti hidup. Hanya kerana mereka tidak mengerti apa yang perlu diperjuangkan. Bukan sahaja tidak mengerti apa, malah tidak faham kenapa perlu adanya perjuangan sedangkan kita telah senang, aman dan damai hinggakan kita leka dengan bersenang-lenang..

Setelah lama dalam alpa dan leka dan di lalaikan sebegitu lama, baru kini ku mengerti persoalan ini sedikit demi sedikit..Memegang amanah mendedahkan aku dengan keadaan yang sebenarnya. Pelbagai perangai manusia yang adakalanya bertentangan dengan nilai-nilai murni, yang pasti disanjung oleh semua agama dan bukan hanya Islam cuma. Kerap kali pertentangan antara baik dan jahat itu berlaku kala aku meningkat dewasa, namun makna baik di dalam jiwaku pada waktu itu masih di kefahaman yang sangat superficial.

Kini ku fahami erti baik itu. Baik yang sebenar-benarnya ialah mengikut acuan pencipta kita, ALLAH. Selagi ada ruang dalam hidup kita, apa yang hati kita kata, apa yang akal kita fikir, apa yang kita dengar, apa yang kita kata, apa yang kita makan, apa yang kita pakai, apa yang kita buat, pada SETIAP MASA, tidak kira di mana, tidak disukai ALLAH dan tidak dibenarkan ALLAH, kita masih belum baik. Itulah perjuangan hidup ini. Baik vs Jahat. Kebenaran vs Kebatilan.

Setujukah semua bahawa manusia zaman moden ini terlalu zalim dan selfish ? Kezaliman sangat dirasai di kala ini, lihatlah keliling kita. Rasa selamat sudah tiada lagi, pengawal keselamatan sudah menjadi pandangan lumrah di negara kita ini. Hidup rasa kelam-kabut dan sangat tergesa-gesa. Di kala ini, aku merasa ada yang perlu diperjuangkan. Masyarakat semakin maju dan kaya namun yang susah melarat dan miskin ada di mana-mana sahaja. Makin lama makin nampak ada yang tidak kena dengan keadaan negara ini. Something is wrong, somewhere.

Kerap kali kita lihat sendiri kezaliman di hadapan mata. Apatah lagi mereka yang terlibat dalam pentadbiran negara. Terlalu banyak sebenarnya. Cuma kita adakalanya ambil sikap, agh, lantaklah…apatah lagi menyemai keiniginan untuk berbuat sesuatu untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik.

Menjadi lebih baik bukan kah perlu mengikut apa yang telah ditetapkan Pencipta alam ini, ALLAH. Mengapa kita berdegil dan mahu membuat acuan kita sendiri ?

Adakah kutipan hasil itu boleh menggantikan zakat sebagai contohnya..mengapa kita terlalu berani menggantikan hukum ALLAH dengan hukum kita sendiri ? Tidakkah kita nampak kesannya kini ? Adakah eknonomi bertambah baik dengan kutipan hasil itu sedangkan zakat tidak sekerasnya hasil dari segi penguatkuasaannya kepada umat Islam ?

Mengapa kita biarkan pekerja-pekerja Islam menjual dan menghidangkan arak kepada yang bukan Islam ? Siapa sanggup berhadapan kala kita dipertanggungjawabkan nanti ?

Lebih pelik apabila kita sedari semua ini namun masih tidak mahukan perubahan. Terlalu takut untuk keluar daripada `comfort zone’ yang diciptakan. Ibarat hidup dalam cerita dongengan yang sebenarnya hanyalah ilusi si tukang sihir. Kita harus lihat negara lain yang jauh `lebih baik’ daripada Malaysia walaupun berperang seperti Palestin. Ikutilah cerita mereka yang pernah ke sana, pasti mereka memahami erti negara yang aman damai yang sebenar-benarnya.

Negara kita ini perlukan perubahan. Jom mulakan dengan diri kita dulu.

Usah bawa fitnah kepada agama Islam ini.

Karakter diri yg bertentangan dengan Islam oleh penganutnya itulah fitnah terbesar kepada agama Islam, dalam hal-hal bersifat peribadi seperti menutup aurat, lalai dan leka, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, boros berbelanja..hinggalah kepada hal-hal besar seperti pentadbiran negara dan juga perkara-perkara lain..

Mengapa harus menolak perjuangan ke arah kebaikan seperti ini ?

Apakah alasan mu ?