Archive | Ogos 2012

AKU INSAN BIASA

Aku tidak tahu bagaimana matiku nanti

Aku akur kisah sialim tetapi kufur tatkala mati

Hatta iblis kuat ibadatnya sebelum tersasar dari

Jalan lurus dikehendaki Ilahi

 

Aku juga masih berdosa dalam hati

Mana mungkin siapa bisa tahu dosa hatiku

Mana mungkin aku tahu apakah amalku

Akan di tolak dan dicampak kerana riak..

Dosaku yg lalu dan menggunung tinggi

Tiada terhidu oleh khalayak

 

Dan aku juga berdosa jika aku berdiam diri

Tidak lakukan apa-apa

Biarkan kelilingku bergelumang dengan dosa

 

Apakah bisa ku mengadap Tuhanku nanti

Tika aku ditanya

Kenapa aku tidak mengajak yg lain

Menyeru yang lain

Ke arah kebaikan ?

 

Tersilap langkahku

Bisa terhumban ke neraka

Kerana sikap mementingkan diri  sendiri sahaja

 

Tidak pedulikan langsung orang lain

Tidak kasihankan langsung orang lain

 

Namun aku ada cuma dua plihan….moga aku tidak disesatkan…mohon petunjukMU YA ALLAH YA RABBI

 

MANUSIA TANPA KEMANUSIAAN

Pabila manusia hilang kemanusiaannya
Memperhambakan manusia lain sewenang-wenang hatinya
Menghina, menzalimi tanpa rasa
Mereka menghina diri mereka sendiri

Lebih zalim lagi
Pabila keliling membisu sepi
Pabila keliling membutakan mata hati
Berpeluk tubuh melihat

Saudara kita diseksa, dikerat-kerat, melarat dan merempat
Dihina selayak haiwan ternak
Kita hanya membatukan diri
Menjadikan kita ini
Lebih hina daripada patung-patung batu

Mampukah kita di akhirat nanti
Tatkala mereka menuntut hak mereka
Kala tiada lagi kudrat
Kala tiada lagi basa-basi
Untuk selamatkan diri

Ayuh !

Bangkitlah semua
Seruan itu telah tiba

Ayuh kita bersama-sama

Selamatkan saudara kita
Pegang kuatlah pada tali ALLAH
Keluarkan diri dari kepompong selesa
Tidakkah kita diulit resah bersalah
Tatkala kita bersenang lenang bergembira
Mereka diulit derita, merintih, merayu

Di manakah kita saat mereka meminta-meminta ?

Saudara kita di Palestine, Syria, Rohingya..

 

http://www.facebook.com/aqsa.syarif?ref=ts#!/aqsa.syarif/info

http://www.facebook.com/photo.php?fbid=370744346325951&set=a.286222568111463.64838.255076787892708&type=1

KITA SEBAGAI DAI’E SECARA FITRAH SEMULAJADI…

Setelah ku jalani jalan ini, aku kerap berfikir jauh ke hadapan sambil mengimbas kembali  bagaimana ALLAH telah menyusun hidupku selama ini. Pasti, satu sahaja kesimpulan  yang boleh kuambil terhadap semua yang telah berlalu dalam hidupku – semuanya adalah untuk menyediakan diriku menjadi dai’e. Perjalananku sebagai dai’e  sebenarnya telah lama bermula sebelum kesedaran itu menjelma. Aku yakin kita semua telah lama ada fitrah sebagai dai’e atau pendakwah. Cuma satu sahaja yang membezakan dulu dan semalam, iaitu, bukanlah Islam itu yang ku dakwahkan pada hari semalam. Tanyalah diri kita sekalian, apakah yang kita dakwahkan selama ini ? Bagi diriku yang jahil dahulu, sudah tentu bukan Islam.

Aku dahulu sering dikatakan orang yang aku mempunyai cara berfikir yang berbeza. Aku suka berfikir. Malangnya aku tidak merujuk kepada kalamullah mahupun sunnah. Hasilnya, aku kerap kali tidak dapat menerima perbezaan fikiran dan bersifat defensif ada masanya walaupun asas kepada fikiran aku entah dari mana sumbernya. Pastinya dari bahan bacaan ku pada waktu itu. You are what you read.

Maka, atas fitrah semulajadi insan sebagai pendakwah, tanpa sedar aku telah mula menjual pemikiran dan menanamkan kefahaman aku pada orang lain. Aku suka mengajar, sedari di usia kanak-kanak lagi. Apabila jiran sebelah rumah seusiaku kulihat sukar memahami topik pelajaran, aku menawarkan diri menjadi gurunya. Aku rasa gembira dan puas hati dapat menanamkan kefahaman pada orang lain.

Sementalah aku memasuki dunia kampus, aku terus-terusan menjadi tutor kepada rakan-rakan lain. Membentuk ‘study group’ dan berbincang, persis ibarat usrah, dengan bertalaqi dan bernaqibah dan acap kali akulah yang dipilih untuk menjadi ketua entah atas sebab apa. Asalnya aku terima dengan berlapang dada, namun, di penghujung jalan, krisis keikhlasan datang melanda hati. Tanpa sedar, hatiku mula kotor dan dikotori. Aku mengeluarkan diri dari kumpulan setelah gagal menyatukan hati. Ia membuatkan aku berfikir, mengapa ini semua terjadi ? Tiada jawapan yang pasti. Aku tidak tahu mana salahnya diri. Itulah yang terjadi bila bukan Quran dan sunnah yang kita pegangi.

Setelah mula bekerja, sekali lagi aku memerhati – jauh bezanya apa dipelajari dengan amali. Alam realiti sungguh jauh sekali daripada angan-anganku dan impian. Aku kecewa namun aku mengenggam rasa ingin mengubah keadaan. Aku tidak melihat, bahkan alpa bahawa keadaan itu dibentuk oleh manusia dan aku juga alpa bahawa manusia itu bertindak mengikut kata hatinya dan bukan akalnya. Namun, keinginan yang kuat mengubah keadaan menanamkan azam yang cukup dalam; lantas aku katakan pada diri : Do what you have to do and make yourself a living proof. Seolah-olah aku melakukan qudwah hasanah namun bukanlah dalam acuan dikehendaki oleh sunnah.

Bukan mudah menjadi agen perubahan dengan diri yang tidak dekat dengan Tuhan. Rintangan demi rintangan membuatkan hati menjadi keras menghadapi tentangan. Hati tidak bersih dan tidak adil. Ada yang dipilih, ada yang mentah-mentah ditolak, ikut sesuka rasa, nauzubillah bin zalik. Sungguh jahil diriku tika itu.

Satu saat dan ketika, aku mula menyimpan angan-angan untuk menyambung pelajaran apabila dirasakan ilmu itulah yang diperlukan untuk diterima ramai sebagai agen perubahan. Dengan ilmu dan sijil itu, aku mula rasa yakin dengan apa yang hendak kujuangkan. Melalui pemerhatian, aku sedar ada ilmu-ilmu lain yang perlu aku pelajari sendiri untuk aku berjaya. Ilmu itu lebih kepada ilmu politik dan cara kita hendak menambat hati manusia untuk menyakini apa yang hendak kita sampaikan. Apa yang ku fahami itulah alat namun aku jadikan ianya sebagai matlamat..sungguh aku dalam kejahilan yang bisa menyesatkan…Sungguh, tanpa hidayah dariNYA, bisa sahaja aku ni terhumban dalam seksaan yang maha menyiksa..nauzubillah bin zalik..

Saat ALLAH kurniakan aku ilmu itu, pengaruhku mula tersebar luas. Aku mula bertatih di bidang klinikal yang sangat mencabar. Aku mulakan langkah sebagai clinical pharmacist di ICU. Mengenali dunia klinikal di wad kritikal dan perlu berhadapan dengan Pakar-Pakar Klinikal. Sungguh segala ilmuku diuji ke tahap paling maksima. Berbulan-bulan masa ku buat pemerhatian dan memahami tingkah laku manusia yang perlu ku hadapi. Memahami dunia mereka amat penting buatku ketika itu. Bukankah itu juga penting buat kita sebagai dai’e ? Sungguh tidak ku sangka persamaannya sungguh ketara.

Alhamdulillah, setelah aku dikurniakan ilmu dan kefahaman tentang tingkah-laku manusia di bidang klinikal, dengan mudah aku mengorak langkah ‘berdakwah’ tentang peranan seorang ahli farmasi. Pada asalnya, aku sering bertanya pada mereka : How can I help you ? Sedaya-upaya aku cuba memudahkan, menjadi duta Jabatan Farmasi dan menjaga imej Jabatan. Mengapa itu tidak ku lakukan untuk agama Islam ? Sungguh jahil aku ini bukan ?

Sungguh langkah-langkah itu memberikan kesan. Pengaruhku mula berkembang, berbondong-bondong manusia mendengar syarahan, namaku mula terukir di bibir manusia. Satu demi satu permintaan memohon aku menjadi guru mereka. Aku kenal pasti manusia-manusia berpotensi untuk ku berikan latihan secara one to one, sehingga mereka bisa mewarisi ilmu duniaku. Persis ibarat membentuk QS bukan ? Subhanallah, tiada kebetulan dalam akidah yang benar. Tapi, kerana dek tiada acuan rabbani, maka, apa yang ditunggu-tunggu oleh syaitan pun tiba. Aku menjadi ujub pada diriku sendiri. Hatiku menjadi kotor sekali…..saat itu nikmat ku sangka rahmat, padahal ianya adalah istidraj…

Akhirnya, aku diuji sungguh hebat. Segala nikmat ALLAH rentap serentak dan berturut-turut. Satu demi satu, hingga aku tersungkur, tersembam menyembah bumi. Hingga aku menyerah diri kerana tiada apa lagi yang tinggal pada diri. Pastinya pengaruh itu tidak ALLAH kehendaki untuk aku menyesatkan manusia, tapi untuk dijadikan alat menuju matlamat yang kekal abadi, iaitu menegakkan Islam di dalam diri serta sekelilingku. Hanya dengan begitu, inshaALLAH akhirnya, bisa tertegaklah Islam di muka bumi ini. Sungguh ku bersyukur ku bertemu dengan jalan ini walau pada usia berganda daripada mereka di sekelilingku di bumi kangaroo..

Ayuh semua ! Marilah kita bersama-sama menjadi dai’e sebelum kita bertemu Ilahi. Mulakan langkahmu tidak kira apa pun usia kita di kala ini.

RAMADHAN – Jangan kau pergi…

Ramadhan,

Sungguh aku dahulu jahil tentangmu

Sungguh aku tidak mengenalimu

Aku biarkan engkau berlalu

Hadirmu tidak aku tunggu

 

Aku tahu engkau datang

Aku tahu ya, aku perlu berpuasa

Aku debar dan gembira

Tika takbir raya

Masa, tenaga, wang ringgitku

Ku habis di penghujung waktumu

Ku tidak pedulikan engkau yang akan berlalu

Sungguh aku berdosa

Aku biarkan engkau tinggalkan aku

Tanpa apa-apa rasa

 

Kini di sini

Ku mengerti erti Ramadhan yang hakiki

Ku insafi diri, menyesal tiada terperi

Ku sedar kau hadir untuk ku berpeluang

Kifarahkan diri

Dosa2ku pada Ilahi

Dosa2 hati

Dosa bibir, tangan dan kaki

Kau ajar aku kuatkan daya kawalan diri

Kau ajar aku tundukkan hati

Kau ajar aku memerangi hati yang membuta tuli

Kau ajar aku mendidik nurani

Korbankan waktu lenaku di malam hari

Mengabdikan diri pada Ilahi di saat sunyi dan sepi

Menginsafi dan menyesali

Kekhilafan diri

Entah apa nasibku di akhirat nanti

Mampukah aku selamatkan diri

Dari seksaan neraka dan azab kubur tidak terperi

Sungguh..

Ramadhan, kaulah penguat jiwa dan hati…

 

Bukan santapan berbuka itu harus jadi persoalan

Bukan juga aku harus biarkan perayaan itu

Berlegar-legar di fikiran

Di penghujung Ramadhan

Apa gunanya Ramadhan,

Andai aku ikutkan hawa nafsu makan ?

Apa gunanya Ramadhan,

Andai aku tidak mengawal hati dan perasaan ?

Apa gunanya Ramadhan,

Andai aku lebih terlena dan tidak berqiam ?

Bukankah aku ini hamba yang berdosa ?

Bukankah aku ini hamba yang kerdil dan hina ?

Angkuhnya aku untuk tidak bertaubat tanpa henti ?

Bahkan Nabi bertaubat saban malam tanpa henti..

Astaghfirulllah..halazim…

 

Istifar panjanglah wahai diri

Hingga bisa berjujuran air matamu di pipi

Menangislah kerana Ilahi

Ramadhan yang datang akan pergi lagi..

 

Kali ini, ku pinta,

Janganlah kau pergi

Janganlah kau biarkan aku lagi

Datanglah padaku, aku tetap menanti

Sehingga tiba ajalku suatu hari nanti

Temukanlah aku Ya ALLAH,

Malam istimewa di bulan Ramadhan

Malam seribu bulan

Malam untuk ku mohon keampunan

Agar bisa ku sucikan hati dan nurani

Agar bisa ku mengejar

RedhaMu YA ALLAH YA RABBI

Ramadhan, usahlah kau pergi lagi……