Nota buat seorang ayah

ayah

Wahai Ayah,
Betapa besar pengorbananmu,
Hanya ALLAH yg tahu
Betapa pedih hatimu menahan perasaan,
Hanya ALLAH yg tahu

Betapa diri ini menangisi melihat keadaan dirimu diperlakukan begitu…
Bukan oleh orang lain tetapi oleh diri kami sendiri…
Ayah, dirimu amat sedikit kehendak
Amat sederhana dan zuhud pada dunia
Kau terima apa sahaja yg ada
Makan dan minummu diuruskan sendiri
Pakaianmu diuruskan sendiri
Malah Ayah sanggup
Mengenepikan kepentingan diri
Mengemas dan mencuci rumah walau di usia senja…

Namun kini aku telah dengar keluhan kesahmu
Saban malam ku dengar nafasmu yang terhenti-henti
Jantungmu tidak lagi sekuat dahulu

Namun kami masih terus-terusan menzalimimu
Tanpa sedar
Tanpa endah
Kami terus-terusan alpa dan leka
Ikutkan nafsu yg tidak mengerti erti berhenti

Ayah,
Izinkan kami
Menebus kezaliman kami
Buat sekalian kali…

Seorang Ayah
Bisa menjaga anaknya
Namun bagi anaknya menjaga ayahnya
Perlu bemujahadah melawan kepentingan diri…

Ayah,
Rehatkanlah dirimu
Kerana engkau lebih berhak dihargai
Terimalah hadiah ini daripada kami yang hina dina ini…
Redhalah atas kami
Sungguh, redhamu wahai Ayah
Adalah satu syarat pintu syurga itu dibuka….
Merintihlah seksalah diri ini
Andai kau tidak redha atas kami ini…

PERTEMUAN SESUDAH PERPISAHAN

Telah lama ku pendamkan hajat
Bertemu rakan seperjuanganku di USM dahulu
Alhamdulillah, kemajuan teknologi terkini memudahkan ikatan itu bertaup semula
Debaran hati sungguh terasa, terimbau kisah suka dan duka kita bersama
Rindu di hati usah di kata, membuak-buak selama dua puluh tahun lamanya…

Kala tiba di tempat dijanjikan
Aku disambut dengan pekikan girang
Pelukan rakan seolah-olah tidak mahu dilepaskan
Oh ALLAH, sungguh nikmat yang Kau kurniakan pada hambaMU ini tidak ternilaikan..

Pertemuan ini ku hajatkan demi mencari redhaMU ALLAH
Mengajak rakan ke arah kebaikan
Dalam pada umur menginjak ke angka 40 an…
Kerna kematian itu pasti makin hampir kini dari semalam

Celoteh pun bermula, berselang-seli dengan ketawa riang gembira
Masing-masing tidak putus berbicara
Usik mengusik sehingga berderai ketawa
Keseronokan sebegini sukar sungguh dicari
Kala nikmat ini diberi ALLAH, kita mengharapkan masa itu bisa terhenti
Agar kita selama-lamanya dapat bersama dalam gembira begini

Kita juga perlu akur dengan ketentuan Ilahi
Ada yang tidak mendapat rezeki kali ini
Melihat dan mendengar dari kejauhan sambil menahan rasa
Pasti sedih hatimu wahai sahabatku…bertenanglah dan berdoalah,
Ini semua pilihan ALLAH jua..

Di kala berkongsi cerita perihal kisah peribadi
Pergelutan hidup mereka yang terpilih ini
Aku terkesima
Ada yang bergelut dengan kerjaya
Ada yang bergelut menuntut ilmu dengan duit dan usaha sendiri
Ada yang bergelut dengan ujian kesakitan
Ada yang bergelut dengan ujian anak-anak dan suami..

Dan aku ?
Pernahkah aku menghitung semua nikmat-nikmat itu ?
Atau asyik mengelamun, menginginkan apa yang belum aku ada
Sehingga alpa dengan apa yang aku telah ada
Apakah aku ini hamba yang kufur nikmatMU ?
Mana bukti syukurku pada nikmat2 itu ?
Perapkan untuk diri sendiri dan kedekut untuk berkongsi…muhasabah diri

Sungguh, pertemuan ini membuka pintu hati
Melihat kehidupan dari kaca mata mereka yang lain
Meraikan perbezaan dan menyantuni keperitan ujian hidup masing-masing
Memberikan kekuatan untuk teruskan pergelutan
Kerana, hakikatnya, hidup ini satu pergelutan
Yang hanya bisa berakhir dengan kematian…

Moga ALLAH izinkan tautan hati ini berterusan
Moga ada kesinambungan pertemuan ini hingga ke jannah insyaALLAH
Tiada lagi terpisah, tiada lagi rindu
Amin Ya Rabbal al Amin

Reunion b pharm

Di kala si sibli itu berbisik….

beach view
Di kala keimanan itu melemah..
Akibat kealpaan diri
Hati yang ternoda
Hanyut dibawa arus hawa
Tika itulah si sibli mula berbisik di sukma

Mulalah kita bersangka-sangka sesama kita
Mulalah kita memandang buruk segala perkara
Segala yang putih suci bertukar hitam berdaki
Segala yang manis bertukar pahit kelat
Segala yang merdu bunyinya gegak gempita di jiwa

Lalu jiwa kita mula memberontak
Kita mula menekan setiap di keliling kita
Kita mula sangsi dengan apa sahaja
Hatta perkara yang baik sebenarnya
Segalanya menjadi buruk belaka..

Kita terus menerus di bawa arus
Lemah longlai tidak bermaya
Di kala ada tangan menghulurkan bantuan
KIta lihat ia umpama jerat perangkap
Lalu kita berpaling dan terus hanyut
Hingga terdampar lemah di tepian..

Kita rasa lelah melayan hati
Kita rasa ingin sahaja melepaskan diri dari bebanan ini
Namun kita juga tidak bisa
Menangkis bisikan si sibli
Kita bukan tidak ingin bangun
Kita bukan tidak mahu berpaling lari
Kita bukan tidak mahu lagi bermula semula
Tapi kecewa kita menjadi terlalu
Hingga kita didorong untuk rasa berputus asa dengan rahmatNYA…

Wahai hati! Bertaubat dan beristifarlah !

Surah Az-Zumar : 53

Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kitakah rijal itu ?

the red shade
Apa yang kita bina ?

Rijal tidak boleh lemas. Kalau lemas tidak namanya rijal. Pengertian rijal: muslim yang berpegang pada prinsip dan bertindak untuk ummah, bukan untuk kepentingan dirinya atau sebab-sebab lain yang rendah. Jadi yang lemas bukan rijal dan tidak akan mampu membina. Yang membina itu tentunya agen perubahan.

Kata-kata daripada seorang ukthi ini begitu menyentap hatiku.

Kita kata kita ini rijal
Tapi kita lemas dalam lautan jahiliyyah

Kita kata kita ini rijal
Tapi kita tidak berpegang teguh pada prinsip

Kita kata kita ini rijal
Tapi kita tidak mampu bertindak untuk ummah

Kita kata kita ini rijal
Tapi kita bertindak untuk kepentingan diri sendiri

Kita kata kita ini rijal
Tapi kita tidak mampu menjadi agen perubahan

Kita kata kita ini rijal
Lalu kita pun berusaha membina
Namun, jika kita ini bukanlah rijal,
Lantas apakah yang sedang kita bina itu ?

Adakah kita rijal yang berlari-lari dari hujung bandar..
Bergegas-gegas walau keseorangan..
Tabah menggadaikan segala-galanya demi iman dan Islam
Keyakinan yang benar-benar mendalam
Dan tidak langsung takut akan mati

Binalah dirimu nescaya tertegaklah binaan itu..

Surah Yasin : 20-26

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu. (20) Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk. (21) Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? (22) Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku. (23) Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata. (24) Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku). (25) (Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Ia berkata; Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui. (26)

Kematian yang membahagiakan..

kubur

Aku tersedu kelu
Menyaksikan bahagianya si dia
Betapa ALLAH menyayanginya
Sehingga seluruh makhluk menangisi pemergiannya
Suatu yang amat ku damba
Kerna aku pendosa
Menginginkan kemaafan dan ampunan
Dari manusia yang pernah aku sakiti hati mereka…

Aku terfikir tentang kita
Betapa kita terlalu yakin di zon selesa
Hatta kita yang dipilihNya di jalan ini
Kita kerap memandang enteng mereka di luar sana
Seolah-olah kita rasa ALLAH hanya mengasihi kita
Seolah-olah kita rasa syurga itu telah ALLAH jaminkan untuk kita
Seolah-olah kita rasa pasti kita bahagia di sana !
Kita, pastinya, telah dilalaikan syaitan durjana !
Mainkan akal dan hati kita untuk berangan-angan cuma !

Kita ini, katanya lebih dari buatnya,
Walau kita tahu, ALLAH benci kalau kita begitu
Lalu, mungkinkan, kita dibiarkan alpa dan leka
Pada perkara yang tiada manafaatnya ?
Oh YA ALLAH….

Apa ertinya hidup kita ini
Jika kita tiada erti pada hidup ini
Hadir kita tiada makna di sisi
Pergi kita tiada ditangisi
Mengadap Ilahi nanti kosong sekali…
Oh YA ALLAH…

Aku cemburu padamu wahai saudaraku,
Kau pemuda istimewa di sisiNYA inshaALLAH
Sungguh kau mengetuk hati insan beribu
Seperti mana para syuhada terdahulu
Kematian mereka suatu pukulan
Yang kuat menampar dari dalam
Aku berazam untuk aku menyusuli laluan hidup sepertimu…

Ameen..Ya Rabbal Al Amin..

Surah Al-Baqarah : 154

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (154)

BERUBAH MELALUI TARBIYYAH : Mengapa usrah ? (Bah. 1)

usrah

Aku mengenali usrah hanya setelah usiaku telah mencecah dekad ke-empat. Syukur Alhamdulillah, ALLAH telah memilihku dan memberikan ku peluang ini. Aku tidak menyesali berjumpa jalan ini di kelewatan usiaku setelah aku lalui jalan-jalan kesesatan sebelum ini. Sejarah silam yang penuh kesesatan itu pasti ALLAH takdirkan agar dapatlah aku menumbangkan kesesatan itu dengan pengetahuan yang ada padaku, insyaALLAH.

Di kala ini, izinkan aku bercerita tentang hebat dan istimewanya usrah, yang sangat penting dalam tarbiyyah.

Bukan tidak pernah aku hadiri majlis-majlis ilmu dan agama dalam hidupku selama ini. Kerap. Jiwaku yang mencintai ilmu tidak akan lepaskan peluang itu. Tapi kesannya ? Sangat minimal. Ya, aku akui adakalanya pengisian majlis-majlis ilmu itu membuatkan aku tersentak, merenung jauh dan menanam dalam-dalam azam. Apatah lagi bila timbul isu masyarakat Islam diganasi. Paling terkesan di hatiku ialah isu bosnia Herzegovina yang ku saksikan di universiti dahulu. Sungguh menyayatkan hatiku. Timbul keinsafan untuk berubah. Isu Palestin usah dikata, acap kali telah ku lihat. Tapi apa yang ku perbuat selain mengalir air mata kesedihan ? Cukupkah sekadar air mata sahaja ?

Dan adakah majlis-majlis ilmu yang telah aku hadiri selama ini telah dapat mengubah dan menambahkan amalku? Apakah bila aku melangkah keluar meninggalkan majlis ilmu itu, adakah itu langkah permulaan untuk aku melakukan perubahan atau segala ilmu itu hanya ditinggalkan di dewan-dewan dan bilik kuliah ?

Dan, andainya aku telah berazam untuk berubah, siapakah yang dapat membimbing diriku ? Dari manakah aku dapatkan sokongan moral untuk menghadapi segala susah payah, jerit payah untuk berubah ? Adakah para ilmuwan itu berada di sisiku saat itu semua ?

Maka ternyata majlis-majlis ilmu tidak bisa membuatkan aku berubah atau aku hanya menanam azam tanpa meletakkan usaha secara berterusan…..

Mengapa ini terjadi ?

Izinkan aku gunakan analogi kuliah vs tutorial..
Bagi mereka yang telah mengikuti pengajian di peringkat tinggi, pasti dapat merasai perbezaan antara kedua majlis ilmu ini. Di dewan kuliah, coraknya lebih berat kepada komunikasi sehala sahaja dimana objektif utama adalah untuk pensyarah menyampaikan ilmu. Interaksi dengan pelajar dengan pensyarah agak terbatas. Kerap kali, hanya pelajar yang pro-aktif berusaha mengambil inisiatif untuk bersemuka secara terus dengan pensyarah. Namun, bilangan pelajar yang ramai tidak memungkinkan semua pelajar dapat disantuni oleh pensyarah.
Dalam kelas tutorial, bilangan pelajar yang lebih sedikit memungkinkan interaksi secara terus dengan tutor. Tutor dapat memberikan lebih ruang kepada pelajar dan membina hubungan yang lebih terbuka dan rapat. Ini memungkinkan pelajar untuk bertanya dan tutor dapat menyantuni segala permasalahan pelajar. Namun, ini tidak bermakna kuliah itu tidak penting, ianya saling melengkapi.

Maka, begitulah jugalah usrah – ia seumpama kelas tutorial itu. Bilangan pelajar (mutarabbi) yang lebih sedikit memudahkan pendidik (murabbi) memberikan fokus kepada keperluan mereka. Dapat berbincang, meluahkan rasa dan berkongsi cerita. Hubungan boleh dibina dengan lebih baik dan dapat membentuk tautan hati. Hubungan ini boleh membina faham diantara murabbi dan mutarabbi. Ini akan dapat mendorong mutarabbi untuk melakukan perubahan dirinya mengikut bimbingan murabbi. Pemantauan juga dapat dilakukan secara berterusan dan tidak dilepaskan begitu sahaja…penjagaan secara individu yang berterusan begini, insyaALLAH akan dapat membantu perubahan itu lebih kekal berterusan..

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna usrahlah satu-satunya cara untuk membimbing manusia. Kuliah itu masih lagi perlu untuk melihat the ` big picuture’ , namun, kuliah tanpa kelas usrah itu pasti menyukarkan kerana tiada tempat untuk berkongsi ilmu dan cerita.

Berubah itu perlu, namun ianya bukan mudah. Manusia perlu dibimbing kerana kita tidak mungkin berubah sepantas kilat dengan sendirinya. Itu mustahil. Siapa yang boleh membimbing manusia selain daripada kalangan manusia itu sendiri ? Tapi manusia yang bagaimana ? Sudah tentulah kita perlu kembali kepada pencipta kita, ALLAH dan DIA telah hantarkan utusanNYA ke dunia.

Rasulullah telah pun menyampaikan risalahNYA. Dan adakah kewafatan Nabi menjadi alasan untuk kita tidak lagi mendapat bimbingan ? Bukankah Nabi telah menghasilkan manusia-manusia hebat yang menjadi pewaris Nabi ?

Suatu pencarian bermula…

Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam :
Barangsiapa yang Allah berkehendak padanya kebaikan, nescaya diberikan kepadanya kefahaman dalam agama.

bersambung..inshaALLAH

Sekalung kemaafan dariku

Pelangi at fawz

Aku tahu kau adakalanya
Amat tidak tahu
Untuk berbuat apa dengan diriku
Terlalu banyak kehendakku
Terlalu banyak mahuku
Hingga kau jadi keliru
Buntu fikiranmu

Bukan mudah berbicara dengan aku
Fikiran dan ucapku berubah-ubah
Sekejap begitu, sekejap begini
Mungkin saja aku ini hendak memenangkan diri
Lantas mencipta alasan itu dan ini…

Perasaanku juga berbolak-balik terlalu
Antara gembira dan duka
Usah ditanya kenapa, sukar aku mengawalnya
Walau sungguh aku mencuba
Aku berdoa siang dan malam
Agar hati ini ALLAH tenangkan
Setenang air di kolam
Agar aku bisa menjadi insan yang tenang sentiasa
Memandang baik semua perkara
Tiada rasa dengki dan iri hati
Yang bisa menjadikan segalanya sia-sia…

Sabarmu menghadapi kerenahku
Pasti ALLAH tahu
Moga DIA membalas sabarmu
Dengan sebaik-baik anugerah
Sebanyak keringat yang kau perah
Menahan hatimu dari rasa amarah
Menyantuni diriku walau hati tercalar..

Sungguh kita tahu ini bukan mudah
Jalannya panjang dan amat sukar
Hanya hati yang dipimpin Ilahi
Yang bisa melalui jalan ini
Kita bertemu kerana DIA
Mudah-mudahan, pabila kita berpisah nanti
Dalam pada kita sedang menuju ke arahNYA
Genggaman erat ukhuwah ini kerana ALLAH
Moga kita dapat redhaNYA, inshaALLAH !

Sekalung kemaafan dariku
Wahai ukhtiku
Moga usaha kita dalam membina ukhwwah ini
Ada ertinya disisi Ilahi..

Surah Al-Kahfi : 28
‘Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka [karena] mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.’